Presiden FDAM, Dr Ahmad Ibrahim
Presiden FDAM, Dr Ahmad Ibrahim
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menggesa agar semua ahlinya dan penggiat seni keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang diadakan esok.

Presidennya Dr Ahmad Ibrahim juga memohon syarikat produksi, stesen TV, dan pengarah yang sedang atau akan menjalani penggambaran pada tarikh PRU15 supaya menangguhkannya demi kelancaran mengundi.

"Penggiat seni turut memainkan peranan penting sebagai rakyat Malaysia untuk pergi mengundi. Ini adalah tanggungjawab penting yang wajib dilaksanakan tanpa ada sebarang alasan, kekangan atau isu membabitkan aspek kerja pada tarikh PRU15.

"FDAM juga memandang serius sekiranya ada syarikat produksi mahupun stesen TV yang bersikap tidak bertimbang rasa dalam memberi kebenaran pada penggiat seni pergi mengundi.

"Apa jua penggambaran boleh ditangguhkan kerana mengundi pada PRU15 adalah tugas penting demi masa depan negara kita sendiri. Sebagai cadangan, FDAM meminta syarikat produksi dan stesen TV membuat penjadualan semula tarikh penggambaran yang sepatutnya dilakukan pada tarikh mengundi PRU15," katanya.

Dalam pada itu, FDAM juga menyokong dan berterima kasih pada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana memberikan cuti khas sehari sebelum tarikh mengundi pada 18 November 2022 untuk penggiat seni balik mengundi.

"Sudah tentu ada penggiat seni mungkin mengundi di kampung mereka yang jauh dan ini memberi peluang pada mereka pulang untuk mengundi.

"Buat semua ahli FDAM dan penggiat seni, marilah kita beramai-ramai pergi mengundi. Penggiat seni juga penentu masa depan negara, tunaikan kewajipan anda pada negara. Selamat mengundi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 4:07 PM