Khai Bahar
Khai Bahar
Norhayati Nordin


Puchong: Penyanyi popular, Khai Bahar, 28, teruja akan mengundi di Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini yang berlangsung di seluruh negara pada 19 November, depan.

Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin berkata, dia sudah mengemas kini alamat di Selangor dan itu lebih memudahkan dirinya untuk melakukan proses mengundi di pusat pengundian yang ditetapkan nanti.

"Saya dah beberapa kali mengundi, cuma pada PRU15 ini akan mengundi di Selangor, sebabnya dah kemas kini alamat di sini. Tak perlu lagi, nak balik ke kampung di Perlis untuk mengundi.

"Saya teruja nak pergi mengundi terutama PRU nanti kerana berlaku setiap lima tahun. Harapan saya, agar Malaysia terus dipimpin oleh mereka yang layak untuk negara ini berkembang maju dan rakyat hidup makmur," katanya ditemui baru-baru ini.

Mengulas juga pembabitan calon bertanding pada kalangan selebriti dan penggiat seni, Khai berkata, itu hak masing-masing. Jelasnya, kalau mereka rasa mampu memikul tanggungjawab sebagai pemimpin, tidak mengapalah nak bertanding.

"Saya melihat ke arah positif saja. Kalau mereka yakin dan ada pengikut yang nak mengundi, apa salahnya. Macam yang saya kata, ia hak masing-masing.

"Lagi pula, di luar negara seperti Indonesia, ramai juga selebriti terkenal di sana yang menceburi politik dan ada pengikut mereka masing-masing. Jadi, bagi saya ia bersifat terbuka," katanya.

Pada PRU15 akan datang, difahamkan ada beberapa nama penggiat seni yang bakal menjadi calon bertanding iaitu Dr Ahmad Idham Ahmad Nazri, Datuk Jurey Latiff Rosli dan Abdul Rani Kulup.

Terdahulu, Khai hadir pada majlis pelancaran single terbaharunya, Oh Wanita ciptaan penuh daripada Harry Khalifah yang kini 'trending' 21 untuk muzik di YouTube Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 5:59 PM