Pemain Gitar Sweet Charity, Rosli Mohalim. FOTO Fathil Asri
Pemain Gitar Sweet Charity, Rosli Mohalim. FOTO Fathil Asri
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pemain gitar legenda, Rosli Mohalim bersyukur keadaan kesihatannya yang diserang angin ahmar kini semakin beransur pulih.

Rosli, 67, yang diserang angin ahmar ringan ketika berada di Indonesia pada November tahun lalu berkata, dia berterusan menjalani terapi urutan dan rawatan akupuntur, selain makan ubat lebih dari 10 jenis supaya cepat pulih. "Alhamdulillah... saya sekarang dah 90 peratus sembuh. Dah boleh bergerak dan berjalan. Juga dah boleh genggam tangan.

"Cuma saya belum boleh main gitar dengan mantap. Apapun saya sentiasa berlatih demi karier," katanya yang ditemui ketika hadir pada sidang media Konsert Rockl4sik Malaysia - Singapore di Sinetone Studios, hari ini.

Dalam kejadian yang berlaku, pemain gitar Sweet Charity ini terbabit menjayakan satu persembahan di Indonesia.

Sebaik bangun tidur ketika Subuh, dia merasa kebas bahagian sebelah kanan badan lalu terjatuh. Dia dikejarkan ke hospital di sana dan menerima rawatan selama dua hari.

Rosli dibenarkan keluar selepas itu dan terus pulang ke Malaysia untuk rawatan lanjut.

"Saya kena strok ringan bahagian sebelah kanan bahu, tangan kanan dan kaki. Tak pasti atas sebab apa kerana saya ada darah tinggi, kencing manis, kolesterol atau sebab kepenatan kerja.

"Semasa nak buat show itu jadual saya sangat padat," katanya.

Rosli yang menetap di Johor kini kembali bermain muzik dan semalam menjayakan persembahan di sebuah restoran di Balakong.

"Itu atas jemputan khas. Bolehlah... main muzik sedikit sedikit. Kalau ada tawaran show di Kuala Lumpur, saya boleh turun.

"Saya perlukan sekitar dua atau tiga bulan untuk betul-betul sembuh. Syukurlah ada bantuan dari IRAMA dan kawan-kawan penggiat seni.

"Saya memang tak sabar nak bekerja semula. Terkini pada 19 November nanti saya akan beraksi dalam Konsert Malam Sweet Charity di Blue Lagoon @ 1 Shipyard Crescent. Namun ia tidak disertai oleh Ramli Sarip," katanya.

Dalam perkembangan lain, serangan angin ahmar juga membuatkan Rosli terpaksa berehat seketika dari aktiviti lukisan kristal yang eksklusif.

"Ia terhenti buat masa ini kerana tangan saya masih belum kuat. Saya juga bercadang untuk menjual potret mantan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V yang diperbuat dari batu kristal Swarovski.

"Saya bercadang nak jual sekitar harga RM500,000 sebagai cara kesinambungan hidup saya ketika ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 9:16 PM