Rosli (kanan) menggayakan tali pinggang gitar rekaannya.
Rosli (kanan) menggayakan tali pinggang gitar rekaannya.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Terima tawaran beraksi dalam Konsert Berita Gempa Sweet Charity kerana mahu mencabar diri untuk sembuh sepenuhnya dari angin ahmar.

   Inilah tekad Rosli Mohalim, 68, pemain gitar kumpulan rock legenda, Sweet Charity yang akan terbabit dengan konsert dijadualkan berlangsung di Arena Larkin, Johor Bahru pada 29 Julai nanti.  

   "Saya sangat teruja dengan tawaran ini kerana dah lama tak main dalam konsert yang besar seperti ini. 

   "Saya tak boleh lepaskan peluang ini kerana sudah 12 tahun kami tidak beraksi bersama di pentas," katanya kepada Harian Metro.

   Terdahulu, Rosli diserang angin ahmar ketika berada di Jakarta, Indonesia bagi menjayakan satu persembahan hiburan, pada awal Januari tahun lalu. 

   Mengulas keadaan kesihatannya, Rosli berkata, proses penyembuhannya kini pada tahap 80 hingga 90 peratus.

   "Saya dah boleh main gitar tapi masih tak macam dulu kerana agak perlahan. Itu sahaja masalahnya  

dan alhamdulillah tiada lagi yang lain.

   "Saya percaya insyaAllah sebelum Julai mungkin pulih sepenuhnya. Saya banyak buat latihan kecergasan sendiri.

   "Saya juga masih kekal makan ubat doktor untuk darah tinggi, kencing manis dan kolesterol, selain makan ubat tradisional," katanya.

   Dia juga mengamalkan pemakanan sihat dan melakukan latihan kesihatan menggunakan peralatan treadmill.

   Rosli yang juga dikenali dengan kebolehan melukis, kini aktif menghasilkan guitar strap (tali pinggang gitar) untuk jualan. 

  "Ia akan dijual semasa konsert nanti bersama t-shirt, topi dan cenderamata lain rekaan saya," katanya. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2023 @ 5:19 PM