Rosli disamping isterinya di rumah mereka di Johor Bahru.
Rosli disamping isterinya di rumah mereka di Johor Bahru.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pemain gitar legenda, Rosli Mohalim, 67, terpaksa berehat seketika dan tidak dapat bekerja selepas diserang angin ahmar ringan kira-kira tiga bulan lalu.

Rosli yang juga pemain gitar Sweet Charity ketika dihubungi berkata, dia diserang angin ahmar itu ketika berada di Jakarta, Indonesia bagi menjayakan satu persembahan.

"Sebaik bangun tidur ketika Subuh, saya rasa kebas bahagian sebelah kanan badan lalu terjatuh. Saya pergi bersendirian ke Jakarta dan selepas itu saya dikejarkan ke hospital di sana dan menerima rawatan selama dua hari.

"Selepas itu saya dibenarkan keluar dan terus pulang ke Malaysia. Sekarang tangan kanan dan kaki kanan masih lagi lemah. Mula-mula langsung tak boleh bergerak tapi sekarang dah boleh gerak sikit-sikit. Saya pun buat terapi sendiri," katanya kepada Harian Metro.

Rosli yang kini tinggal bersama isteri dan seorang anaknya di Johor Bahru berkata, dia memang mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan masalah kolesterol.

"Saya sentiasa makan ubat yang diambil dari hospital. Apapun saya terima ujian ini. Saya bersyukur kerana kawan-kawan ada beri sumbangan. Namun, saya alu-alukan sekiranya mana-mana pihak bantu kerana saya tak dapat bekerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2022 @ 5:08 PM