Syazwan Msar dan Noriza Sainal

[email protected]

KUALA LUMPUR: Seni muzik diterjemahkan kepada lukisan hingga mampu menghasilkan karya yang cukup unik dan mempesonakan.

Itu cara tersendiri gitaris Sweet Charity, Rosli Mohalim setiap kali mahu menghasilkan lukisan kristal bagi membolehkannya tampak eksklusif.

Keunikan terdapat di lukisan milik Rosli adalah dia menggunakan padanan batu kristal Swarovski di setiap karyanya yang memerlukan ketelitian dan kesabaran tinggi termasuk memerlukan masa lama untuk mendapatkan hasil memuaskan.

Antara karya miliknya yang mendapat perhatian ramai ialah potret Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V hingga tular di laman sosial dan mendapat pelbagai reaksi positif daripada netizen.

Rosli yang berusia 64 tahun berkata, dia mula menghasilkan lukisan menggunakan padanan batu kristal sejak tujuh tahun lalu dengan melukis ayat al-Quran dan pemandangan alam sekitar.

ROSLI berlatar belakang  potret Yang di-Pertuan Agong.
ROSLI berlatar belakang potret Yang di-Pertuan Agong.

Berikutan mendapat reaksi positif daripada orang ramai, dia bersama rakan kongsinya, Alizar Kamili, 65, mengambil keputusan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap lukisan padanan batu kristal dengan menghasilkan potret individu penting dan terkenal di negara ini.

“Kebanyakan perhiasan, baju, seluar termasuk gitar milik saya ketika membuat persembahan bersama Sweet Charity sebelum ini dihiasi sesuatu yang bersinar atau bercahaya, sekali gus menarik minat orang ramai untuk melihatnya.

“Menerusi inisiatif berkenaan, saya mendapat idea untuk menggunakan lukisan atau gambar tertentu untuk ditampalkan batu kristal Swarovski dan ternyata ia begitu berbaloi kerana kebanyakan orang ramai yang melihatnya memberi reaksi positif selain menyokong inisiatif berkenaan,” katanya.

Menurutnya, potret Sultan Muhammad V mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan dan menggunakan 63,300 batu kristal Swarovski.

“Kesabaran dan ketelitian begitu penting dalam menghasilkan padanan batu kristal di potret berkenaan menyebabkan saya mendengar lagu bagi mendapatkan ketenangan dan idea.

“Perkara paling sukar menghasilkan karya itu ialah apabila batu kristal perlu dipadankan dengan betul mengikut warna dan saya tidak boleh melakukan sebarang kesilapan kerana boleh menyebabkan ia rosak,” katanya.

KETELITIAN penting dalam menghasilkan lukisan  kristal.
KETELITIAN penting dalam menghasilkan lukisan kristal.

Selain itu, Rosli juga menghasilkan padanan batu kristal potret Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berikutan mereka antara pemimpin yang menjadi tumpuan dan dihormati orang ramai.

Sementara itu, Alizar berkata, menerusi ARCA Crystal Art yang ditubuhkan bersama Rosli, mereka merancang mengadakan pameran lukisan kristal untuk memperkenalkan seni berkenaan kepada umum.

“Kami juga merancang membina kompleks lukisan kristal sebagai daya tarikan pelancongan kerana seni berkenaan mempunyai ramai peminat di luar negara.

“Pada masa sama, kami juga akan menghasilkan lukisan kristal berkaitan simbol tarikan di negara ini seperti Menara Berkembar Petronas dan lokasi menarik lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 7:00 AM