SEPAHTU reunion tetap berlangsung secara sitcom komedi walau bersiaran di Kedah, Terengganu serta Johor.
SEPAHTU reunion tetap berlangsung secara sitcom komedi walau bersiaran di Kedah, Terengganu serta Johor.
Zaara Talita


BUAT pertama kalinya program komedi popular, Sepahtu Reunion turun padang memulakan jelajah di Pasir Gudang, Johor pada 14 dan 21 Oktober lalu disusuli Gong Badak Terengganu (28 Oktober dan 4 November), sebelum ke Kedah pada 11 dan 18 November ini.

Masih mengekalkan konsep asal sitkom komedi, jelajah kali ini membariskan anggota Sepahtu iaitu Jep, Rahim, Ilya Buang atau Pak Ya dan Ebby Yus.

Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd Salleh berkata, matlamat membawa Sepahtu ke lokasi diumumkan adalah berikutan permintaan penggemar program ini sekali gus mendekatkan mereka dengan penyokong di seluruh negara.

"Ikut perancangan memang hajat ini sudah lama disimpan, namun situasi pandemik Covid-19 membuatkan ia hanya dapat diadakan tahun ini.

"Kami juga mahu ke lebih banyak lagi lokasi untuk tahun akan datang. Untuk yang pertama ini, kami turut bawakan ramai artis jemputan antaranya Erra Fazira, Uqasha Senrose, Siti Elizad dan ramai lagi," katanya.

Pengumuman konsert terbuka di Kedah dihentikan sementara sehingga satu prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan tidak menjejaskan perancangan Astro Warna membawa Sepahtu Reunion Live Tour ke negeri itu pada 11 dan 18 November depan.

"Pihak kami maklum dengan perkembangan terbaru mengenai pembatalan sementara penganjuran konsert di negeri itu seperti yang diumumkan baru-baru ini.

"Selepas merujuk semula kepada pihak berkaitan, dimaklumkan segala persediaan yang sudah mendapat kelulusan pelbagai agensi sebelum ini dapat diteruskan mengikut jadual.

"Sepahtu Reunion Live Tour ini bukan konsert, sebaliknya rancangan lawak yang diadakan di hadapan penonton dan disiarkan secara langsung terus ke khalayak di rumah selain punya rekod bersih.

"Kami yakin tiada masalah berbangkit kerana semuanya mengikut SOP (prosedur operasi standard) dan menepati syarat permit biarpun ini julung kali diadakan di luar ibu negara," katanya.

Mengenai jualan tiket, katanya di setiap lokasi hanya 30 peratus saja tempat duduk dibuka untuk jualan tiket pada kadar berpatutan yang lebih kepada komitmen penonton, bukan semata-mata mengaut keuntungan.

Terdahulu, penangguhan konsert di negeri itu ini dihentikan sementara bagi memastikan insiden pengunjung terkinja-kinja menari dan bersorak di luar kawalan seperti tular di Art Loq Staq Festival: Muda Mudi Weekend Fest tidak lagi berulang.

Kerajaan negeri mengarahkan sebarang aktiviti konsert hiburan yang mencetuskan kelakuan di luar tatasusila dalam kalangan pengunjung tidak dibenarkan diadakan di seluruh negeri itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 6:22 AM