Majlis penghargaan bersama keluarga Jasmine Project Love sempena sambutan ulang tahun 8TV ke 20 tahun hari ini. Foto Rohanis Shukri
Majlis penghargaan bersama keluarga Jasmine Project Love sempena sambutan ulang tahun 8TV ke 20 tahun hari ini. Foto Rohanis Shukri
Syafil Syazwan Jefri


Petaling Jaya: Program Jasmine Project Love anjuran 8TV dan Jasmine Food menyalurkan sumbangan berjumlah RM200,000 kepada 24 penerima yang layak melalui Tabung Kemanusiaan Media Prima - NSTP.

Penerima sumbangan diraikan dalam majlis penghargaan yang berlangsung di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, Nini Yusof berkata, pihaknya akan kekal komited untuk menyediakan platform bagi orang ramai menyumbang dan membantu masyarakat.

"Menerusi program ini, kami sudah menyediakan platform untuk orang ramai membuat sumbangan. Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menghulurkan sumbangan kepada Jasmine Project Love.

"Kami akan kekal komited untuk memenuhi tanggungjawab sosial korporat kami dengan memberi kembali kepada masyarakat dan menggalakkan lebih ramai orang membantu demi masa depan lebih baik," katanya.

Ketua Pegawai Operasi 8TV, Kevin Foo pula berkata, setiap keluarga menerima sumbangan berbentuk wang tunai malah ada di antaranya menerima pelbagai keperluan.

"Setiap keluarga menerima sumbangan bernilai RM9,000. Tak semestinya dalam bentuk wang tunai, tetapi ada juga yang menerima sumbangan peralatan seperti kerusi roda, katil dan sebagainya. "Dalam RM9,000 itu, ada juga sumbangan tambahan daripada klien kami iaitu Jasmine Food," katanya.

Tambahnya, pihaknya juga menerima cadangan daripada penonton dan akan membawa program ini untuk membantu mereka di luar Lembah Klang di musim akan datang.

"Kami mendapatkan maklumat dan senarai mereka yang memerlukan sumbangan melalui organisasi amal.

"Setiap keluarga yang kami pilih berpendapatan bulanan keseluruhan di bawah RM5,000, dan penerima juga dalam kalangan mereka yang ada penyakit selain yang pernah terbabit dalam kemalangan.

"Kami rasa, musim pertama menempa kejayaan. Selepas tayangan, ada penonton yang menghubungi kami dan maklumkan, ada penduduk sekitar kawasan mereka yang memerlukan.

"Jadi, untuk musim hadapan, kami akan keluar dari Lembah Klang dan membantu mereka yang memerlukan," katanya.

Turut hadir Pengerusi Kumpulan Media Prima Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, peserta program, pertubuhan kebajikan, rakan kongsi dan wakil media.

Program Jasmine Project Love yang ditayangkan sebanyak 24 episod bermula 1 Januari lalu memaparkan kisah masyarakat yang diuji dengan cabaran hidup serta bermatlamat untuk menghulurkan bantuan serta mendengar keluhan mereka.

Penggambaran musim kedua akan bermula pada penghujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 1:27 PM