JOE Flizzow (kiri) percaya 16 Baris mampu ketengahkan penyanyi rap. -Foto HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
JOE Flizzow (kiri) percaya 16 Baris mampu ketengahkan penyanyi rap. -Foto HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Ardini Sophia Sina

SIRI dokumentari 16 Baris yang diilhamkan Joe Flizzow dengan kerjasama Kartel Records Sdn Bhd dan Rocketfuel Entertainment menyediakan platform kepada penyanyi rap baru bagi mengetengahkan bakat mereka dalam industri muzik tanah air.

Joe, 39, berkata, walaupun 16 Baris mungkin tidak banyak membantu, sekurang-kurangnya ia berjaya membuka mata banyak pihak Asia Tenggara terutama Malaysia mempunyai ramai penyanyi rap berkualiti.

“Saya sudah lama dalam industri muzik. Saya boleh buat tak tahu dan bergerak buat benda lain tetapi rasa ada tanggungjawab yang perlu dijalankan untuk membantu penyanyi rap kita terutama mereka yang masih baru dan tercari-cari ruang untuk membina empayar muzik sendiri.

“Jadi, saya wujudkan dokumentari 16 Baris untuk mereka pamerkan kebolehan mereka tidak hanya dalam penulisan lirik tetapi juga dalam nyanyian. Persembahan di The Bee, Publika April lalu membuktikan semakin ramai yang menyedari kewujudan penyanyi rap menerusi program berkenaan,” katanya.

16 Baris yang ditayangkan menerusi saluran 16 Baris di YouTube setiap minggu memaparkan bakat penyanyi rap di Asia Tenggara.

Joe berkata, setiap minggu tiga penyanyi rap akan menunjukkan bakat mereka dalam siri dokumentari yang sudah memasuki musim kedua itu.

“Saya boleh jadi tamak dan jual program ini ke mana-mana stesen televisyen tetapi ia tidak adil buat peminat yang tidak mempunyai medium untuk menonton televisyen.

“Tambahan pula, generasi sekarang lebih banyak menggunakan YouTube untuk menonton penyanyi kegemaran mereka dan saya juga begitu. Jadi, biarlah 16 Baris itu terus kekal di YouTube,” katanya.

Episod pertama 16 Baris musim pertama mula ditayangkan pada Disember tahun lalu. Setiap minggu, tiga penyanyi rap akan berkumpul di Joe’s Barbershop dan mempersembahan bakat masing-masing.

Siri itu diarahkan Shimy Latif manakala Nicole Levin dan Sofia Mohsen bertindak sebagai penerbit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 5:30 AM