Neelofa
Neelofa
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pengacara popular, Neelofa memohon sedikit waktu untuk berkongsi wajah anak sulungnya, Muhammad Bilal meskipun terdapat segelintir pihak yang menjadikan isu penyakit 'Ain sebagai bahan gurauan di media sosial.

Neelofa, 33, berkata, sebagai ibu dia mahukan yang terbaik untuk permata hatinya itu.

"Jika ada yang mempermainkan mengenai perkara itu, sebenarnya seolah-olah mereka main-mainkan kewujudan 'Ain. Bukan mereka sindir saya sebenarnya.

"Malah hal ini di dalam hadis sahih pun sudah ada. Saya tidaklah arif sangat mengenai perkara ini, tapi saya mungkin boleh melangkaui takdir.

"Saya buat ini (belum dedah wajah anak) walau orang kecam macam mana sekali pun, kami fikir mengenai kesihatan serta kesejahteraan anak. Tunggu bagi dia besar sikit. Bukan saya nak sorok atau tak mahu bagi orang tengok, tidak.

"Kalau boleh saya mahu dia membesar seperti kanak-kanak normal yang lain. Beri masa dia untuk kuat sikit, barulah kita akan bawa dia keluar dan sebagainya," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kolaborasi Naelofar x Disney Alice in Wonderland di IOI City Mall, Putrajaya.

Menurut Neelofa, dia bagaimanapun berterima kasih kepada pihak tertentu termasuk selebriti yang bersetuju dengan tindakannya itu meskipun ada yang mengencam.

"Elly Mazlein sendiri pernah berkongsi yang mana dia melihat anaknya lebih ceria dan gembira bila ketika di sekolah, orang tidak kenal dia anak siapa.

"Apa yang dilakukan ini juga untuk kesihatan mental kanak-kanak. Mungkin kalau pergi mana-mana, kena kerumun atau ambil gambar nanti. Kasihan pada mereka juga," katanya.

Sebelum ini Neelofa mengakui berhati-hati dan belum bersedia untuk berkongsi wajah penuh Bilal bagi mengelakkan penyakit 'Ain (gangguan yang disebabkan pandangan).

Neelofa mendirikan rumah tangga dengan pendakwah, PU Riz pada 27 Mac 2021 dan anak pertama mereka Muhammad Bilal dilahirkan pada 29 Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 6:25 PM