Nad Zainal.
Nad Zainal.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Nad Zainal berkongsi rasa gembira dan terharu atas kemenangannya dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik di acara Anugerah Akademi Kreatif Asia, baru-baru ini.

Nad yang memegang watak sebagai Kirana dalam drama bersiri Dendam Seorang Isteri berkata, dia sendiri tidak menyangka akan kemenangan itu.

"Ia adalah watak dalam telenovela dan menjadi karya adaptasi. Jadi, lakonannya juga bukanlah seni berat seperti telefilem atau apa.

"Jadi, apabila diumumkan sebagai pemenang kategori itu, saya gembira dan terharu kerana saya memang ada 'soft spot' dengan produksi Radius One Sdn Bhd," katanya.

Menurutnya, produksi itu sentiasa memberi peluang kepadanya untuk membawakan watak-watak terbaik untuknya.

"Semua kerja-kerja yang saya lakukan bersama mereka, umpama ada magisnya tersendiri.

"Saya bersyukur dan terhutang budi kepada mereka kerana selalu berikan drama serta peranan terbaik buat saya," katanya.

Kemenangan itu berjaya melayakkannya untuk bertanding di acara Grand Awards yang bakal berlangsung pada 7 dan 8 Disember.

Terbaharu, Nad kini sedang menjalani penggambaran telefilem berjudul Dosa Tak Terampun arahan pengarah Bade Azmi.

Selain Nad, telefilem itu juga turut dibarisi pelakon hebat lain antaranya Ogy Ahmad Daud, Wan Maimunah dan Syafie Naswip.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 8:19 PM