Sharifah Amani kini isteri Ahmed Faris.
Sharifah Amani kini isteri Ahmed Faris.
Sudirman Mohd Tahir

 

Kuala Lumpur: Pelakon, Sharifah Amani, 36, sah bergelar isteri dengan lelaki pilihannya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Impact Integrated, Ahmed Faris Amir, 34, pada  jam 10 pagi, di sini, hari ini.

Pasangan itu dinikahkan Ketua Imam Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara merangkap Penolong Pendaftar Nikah, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Ustaz Mohd Rahimi P Ramlee berwalikan bapa pengantin perempuan, Syed Zainal Rashid Syed Zainal Abidin.

Pada majlis tertutup yang dihadiri 200 tetamu itu, Sharifah Amani atau nama sebenarnya Sharifah Amani Syed Zainal Rashid menerima mas kahwin RM300 dan lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang. Namun, jumlah wang hantaran dirahsiakan.

Sharifah Amani yang mesra disapa Amani berkata, niat dan hajat yang disimpan selama ini dipermudahkan.

"Alhamdulillah, di sebalik ujian pandemik Covid-19 melanda dunia sejak dua tahun lalu, impian, niat dan hajat yang saya simpan selama ini dipermudahkan. Biarpun semuanya berlaku dengan begitu pantas, saya percaya ada hikmah tersendiri hingga menyatukan kami sebagai pasangan suami isteri yang sah. Semoga permulaan fasa baharu ini akan terus mematangkan saya dan suami. Insya-Allah," katanya.

Mengimbau detik perkenalan mereka, menurut Amani, mereka mula bertemu tiga tahun lalu ketika dia memikul tugas sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah organisasi diketuai Ahmed Faris.

"Tiga tahun lalu kami bekerja atas dasar profesional. Belum ada rasa cinta. Dipendekkan cerita, selepas Covid-19, masing-masing solo. Cinta bertandang tanpa diduga hingga akhirnya kami diizinkan bertemu jodoh.

"Suami tangkas dalam setiap gerak-geri. Dia pandai dan bijak mengambil hati saya. Malah, pada masa sama, suami sering buat saya tergelak dan mudah terhibur. Apa yang buat kami serasi, dia adalah antara kawan lepak yang 'sempoi' dan terbaik," katanya.

Ditanya mengenai perancangan bulan madu, Amani dan suami belum membuat sebarang perancangan atas faktor kerja masing-masing.

"Kami hendak selesaikan proses berpindah rumah selepas berkahwin. Kemudian, baik saya mahu pun suami, masing-masing sibuk dengan komitmen kerja.

"Mungkin apabila selesai kerja dan suami dapat cuti, kami boleh fikir perancangan spontan menghabiskan masa berdua. Kalau okay pun, mungkin akhir tahun ini," katanya.

 

 

Antara rakan artis yang hadir pada majlis nikah itu ialah Vanidah Imran, Bront Palarae, Iedil Dzuhrie Alaudin, Nadia Aqilah, Nadiya Nisaa, Sherry Alhadad dan Sangeeta Krishnasamy.

 

Terdahulu, Amani dan Ahmed Faris bertunang pada Jun lalu.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2022 @ 12:07 PM