Siri animasi Mechamato terbitan MONSTA
Siri animasi Mechamato terbitan MONSTA
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Siri animasi Mechamato terbitan MONSTA semakin menakluk dunia apabila mendapat hak siaran di 65 buah negara selepas dilancarkan pada November tahun lalu.

Pengarah Pemasaran MONSTA, Faiz Zainal Aabidin berkata pencapaian itu cukup bermakna buat mereka apatah lagi pada bulan kemerdekaan ini.

"Mechamato sudah pun bersiaran di negara-negara Asia Pasifik, Jepun, Korea Selatan, Australia, Taiwan dan banyak lagi. Selepas pengumuman rasmi Mechamato bakal ditayangkan di Portugal pada bulan lalu, animasi ini mendapat perhatian dan ditambah siaran di 40 buah negara baru termasuk di India, Turki, Timur Tengah, dan Afrika.

"Kami teruja dengan pencapaian Mechamato yang terus mendominasi beberapa negara. Bersempena Hari Kebangsaan Malaysia ke-65 tahun ini, animasi ini sebagai 'Adiwira Kita' membakar semangat dan memberi inspirasi kepada semua untuk lebih yakin melangkah lebih jauh dalam persada antarabangsa," katanya.

Animasi yang dilancarkan di saluran antarabangsa Cartoon Network Asia itu dibangunkan dengan sokongan dana dari Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Ia bertujuan membantu mengeksport animasi Malaysia ke peringkat antarabangsa sekali gus menjadikan negara ini antara pengeluar animasi utama di rantau Asia Pasifik.

Tidak cukup dengan itu, siri animasi terbabit bakal menemui rakyat Malaysia menerusi lebih banyak saluran utama.

Antaranya stesen TV tempatan TV9 dan TV3, penstriman Netflix dan saluran Youtube MONSTA bermula bulan Oktober nanti.

Peminat di Indonesia dan Singapura juga boleh menonton Mechamato di pelbagai rangkaian utama negara-negara berkenaan bermula pada bulan yang sama.

Sebagai penutup dan kemuncak tahun ini, Mechamato Movie bakal menemui penonton pada Disember ini di pawagam seluruh negara. Ia sebuah video khas perjalanan siri terbabit di persada antarabangsa.

Video itu boleh ditonton di saluran Youtube MONSTA dan stesen TV tempatan bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022. Mechamato juga boleh ditonton di saluran HBO GO, Astro Prima dan di aplikasi Astro Go.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 10:58 AM