Mechamato Movie di Jepun menampilkan pelakon alih suara ternama seperti Ayumu Murase sebagai Amato.
Mechamato Movie di Jepun menampilkan pelakon alih suara ternama seperti Ayumu Murase sebagai Amato.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Filem animasi nombor satu negara, Mechamato Movie melakar sejarah apabila menjadi karya animasi Malaysia pertama ditayangkan di pawagam Jepun bermula 19 Januari nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif Monsta, Nizam Abd Razak berkata mereka bekerjasama dengan Aeon Entertainment Jepun menampilkan pelakon alih suara ternama demi tujuan pemasaran di sana.

"Kami dapati gaya pemasaran di Jepun amat berbeza. Pelakon suara mereka mempunyai barisan peminat dan daya tarikan tersendiri. Monsta menerima nasihat dan bantuan rakan strategik di Jepun mendapat 'seiyuu' terkenal untuk Mechamato Movie.

"Kami harap usaha ini dapat menarik minat warga Jepun untuk menonton filem kebanggaan Malaysia ini dan berkongsi pengalaman mereka pula," katanya.

Mechamato Movie di sana menampilkan pelakon alih suara ternama seperti Ayumu Murase sebagai Amato, Yoshitsugu Matsuoka sebagai MechaBot dan Kenjiro Tsuda sebagai Jeneral Grakakus.

Menurut Nizam, dia cukup bangga apabila karya terbabit mendapat pujian pada tayangan perdananya yang berlangsung di Aeon Chofu, Tokyo semalam.

"Kami menerima banyak reaksi mengujakan daripada penonton di Tayangan Perdana Jepun Mechamato Movie ini. Mereka tidak sangka Malaysia mampu menghasilkan animasi bertaraf antarabangsa dengan jalan cerita yang mampu 'melekatkan' anak-anak mereka di kerusi selama 116 minit.

"Kami sedang berusaha untuk membawa masuk versi alih suara Jepun ini ke Malaysia kerana kami yakin peminat Mechamato akan tidak mahu terlepas peluang untuk menonton versi ini," katanya.

Mechamato Movie berjaya mengutip RM36 juta ketika ditayangkan pada tahun 2022.

Filem animasi karya Monsta dan Astro Shaw itu bakal ditayangkan di lebih 30 buah pawagam seluruh Jepun.

Terdahulu, siri Mechamato musim pertama dan kedua menjadi karya pertama dari Malaysia yang berjaya ditayangkan di televisyen nasional Jepun menerusi saluran Tokyo MX.

Lagu temanya berjudul Temaniku nyanyian Yonnyboii turut dinyanyikan semula dalam bahasa Jepun oleh penyanyi Ruka dari Jepun.

Versi itu diberi judul Tomodachi untuk disesuaikan dengan pemasaran di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 12:58 PM