Mechamato The Animated Series
Mechamato The Animated Series
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Selepas berjaya menawan lebih 20 buah negara di Asia Pasifik, siri animasi tempatan Mechamato The Animated Series semakin menarik perhatian apabila akan ditayangkan stesen TV popular Portugal, September ini.

Ia ditayangkan di saluran SIC K atau ('Sociedade Independente de Comunicação') salah satu saluran utama dan terkemuka di Portugal malah dialih kepada bahasa Portugis.

Ketua Penjenamaan dan Pemasaran Monsta, Faiz Zainal Abidin berkata mereka sangat teruja siri animasi penuh teladan itu berjaya menghiburkan terutama peminat cilik seluruh dunia.

"Kini Mechamato semakin mendapat perhatian. Kami amat teruja kerana dapat menghiburkan kanak-kanak dari seluruh pelusuk dunia dengan menggunakan bahasa ibunda mereka menerusi siri animasi kami.

"Kekuatan Mechamato terletak pada jalan penceritaannya yang memfokuskan pada nilai-nilai murni, persahabatan dan budaya. Ia terkenal dengan suntikan teknologi moden tanpa mengabaikan unsur-unsur tradisi tempatan," katanya.

Menjadikan Bandar Hilir di Melaka sebagai sumber inspirasi, siri Mechamato mempamerkan kawasan bersejarah sebagai tema lokasi latar belakangnya.

"Kami harap penonton muda di Portugal dan juga di seluruh dunia sedikit sebanyak akan dapat belajar sejarah serta budaya yang kita warisi suatu ketika dahulu hingga kini," katanya.

Selain Portugal, Mechamato ditayangkan secara eksklusif di saluran Cartoon Network Asia Pasifik termasuk di Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, Taiwan, Australia dan New Zealand.

Ia turut dialih suara ke bahasa Inggeris, Mandarin, Korea, Jepun, Thailand dan Vietnam.

Penerimaannya di laman sosial terutama Twitter meraih sambutan luar biasa menerusi ciapan dari pelbagai negara berkongsi pendapat serta reaksi menggunakan tanda pagar #Mechamato.

Mechamato boleh ditonton menerusi saluran tempatan Astro Prima setiap Sabtu dan Ahad, jam 7 malam selain di Cartoon Network, HBO GO dan Astro GO.

Tidak ketinggalan, siri itu juga akan muncul tidak lama lagi di beberapa lagi platform penstriman lain.

Turut dinantikan adalah Mechamato Movie pada bulan Disember ini di pawagam Malaysia, Indonesia dan Brunei.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 1:07 PM