Animasi Mechamato
Animasi Mechamato
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Siri animasi Mechamato mendapat pujian dan diminati penonton dari Jepun sebaik ia mula ditayangkan di Netflix pada 1 Oktober lalu.

Berdasarkan komen-komen pencinta animasi dari negara matahari terbit itu, mereka cukup kagum dengan kualiti animasi dari Malaysia itu dan menggunakan tanda palang #メカアマト(Mechamato) dalam komen mereka.

Ketua Penjenamaan dan Pemasaran Monsta, Faiz Zainal Aabidin berkata, pencapaian itu semestinya cukup membanggakan apalagi selama ini penonton kita yang memuja animasi dari Jepun.

"Nyata sekali siri animasi ini yang bercirikan elemen-elemen nusantara dan global berjaya menambat hati penonton dari dalam dan luar negara.

"Jika dahulu kita semua disajikan dengan animasi-animasi dari Jepun yang dialih bahasa ke Melayu, kini tiba pula giliran animasi dari Malaysia dialih ke bahasa luar.

"Diharapkan, menerusi animasi tempatan seperti Mechamato ini, kita dapat mempromosikan kepelbagaian budaya, makanan tempatan serta tradisi-tradisi kita ke serata dunia," katanya.

Beberapa ciapan di Twitter memuji mutu penghasilan Mechamato yang disifatkan sangat bertaraf antarabangsa.

"Kualiti grafik komputer yang sangat tinggi, aksi menarik serta begitu hidup, jenakanya mencuit hati, dan jalan cerita yang sangat menyentuh hati.

"Saya mahu semua orang di seluruh dunia menonton Mechamato di Netflix," kata seorang pengguna Twitter.

Siri penuh Mechamato musim pertama kini boleh ditonton di Netflix dalam enam jenis bahasa berbeza seperti bahasa Malaysia, Inggeris, Jepun, Korea, Mandarin dan Thai. Turut disediakan adalah tujuh jenis sari kata berbeza seperti Tagalog dan bahasa Indonesia.

Mechamato turut ditayangkan di TV9 setiap hari Isnin dan Selasa jam 6 petang bermula semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 1:40 PM