Karl Shafek
Karl Shafek
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara, Karl Shafek mendedahkan ramai pihak yang mendakwa dia sudah tidak berminat untuk terbabit dalam dunia seni selepas aktif dalam industri fesyen.

Shafek yang kini sibuk mengusahakan jenama fesyen pakaian berkata, dia masih rindu dan sayangkan kerjayanya dalam bidang seni.

"Sejak 2019 saya mula beri tumpuan kepada jenama fesyen, Neonate Clothing Company. Tapi saya tak pernah umumkan kepada orang ramai yang saya mahu berhenti dalam bidang seni.

"Saya hanya beritahu nak berehat sekejap tetapi ketika dilanda pandemik pada 2020, saya diamkan diri dan beri tumpuan kepada jenama pakaian saya.

"Disebabkan itu mungkin ramai yang beranggapan saya dah tak mahu aktif bekerja dalam bidang seni sehingga jarang dapat tawaran.

"Insya-Allah tahun depan saya rancang nak aktif semula. Lagipun pasukan saya sudah semakin besar dan mereka sudah faham kerja masing-masing," katanya ketika ditemui usai pertunjukan fesyen Neonate Clothing Company di Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2022 (KLFW) di Pavilion Bukit Bintang, baru-baru ini.

Berkongsi rasa teruja terhadap jenama pakaian yang diusahakan bersama rakan baiknya, Syahir Hamdan, Shafek tidak menyangka apabila tahun ini mereka mendapat slot pertunjukan solo.

"Alhamdulillah, sekian lama terbabit dalam KLFW, kali ini kami mendapat slot pertunjukan solo. Pada awalnya kami takut kerana ia bukan mudah, tetapi kami menyahut cabaran ini.

"Inspirasinya adalah barang-barang lama. Saya dah Syahir gemarkan sesuatu yang vintaj dan kami terjemahkan ia dalam koleksi yang diberi nama Neostalgia.

"Menerusi koleksi kali ini, kami menampilkan 50 gaya Neostalgia dan kami membawa 40 orang model, 10 wajah ilham (muse) dan dua orang supermodel untuk mewakili jenama kami di pentas peragaan," katanya.

Antara selebriti yang terbabit sebagai wajah ilham jenama ini adalah Datuk Aznil Nawawi, Puteri Balqis, kesemua anggota kumpulan Dolla, Norreen Iman dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2022 @ 2:16 PM