LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Sudirman Mohd Tahir

 

Kuala Lumpur: "Saya tak berhenti gelak tengok video Sajat tu. Saya pun tahu ramai juga komen. Saya terhibur membacanya, kelakar." 

Itu respons penyanyi terkenal Aina Abdul selepas kemunculannya pada acara KL Fashion Week 2022 bagi memberi sokongan kepada jenama Behati mengundang kecaman warga net termasuk usahawan Nur Sajat yang menyamakan dengan plastik sampah. 

Aina, 29, atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani ketika dihubungi berkata, dia tidak berasa sedih dengan komen diterima malah menyifatkan setiap orang ada imaginasi tersendiri terhadap apa yang dilihat. 

"Untuk penampilan semalam ia ada maksud tersendiri. Kiranya ia adalah kesinambungan intipati daripada gaya 'black rose' dulu yang mana daripada pereka dan jenama sama, Behati. Saya bukan saja-saja nak pakai. Pendek kata, busana ini ibaratnya 'mother of roses'. Dalam masa sama, ia juga sebahagian daripada koleksi dalam pertunjukan Behati. 

"Saya mesej sendiri perekanya untuk hadir pada acara berkenaan. Jadi, dia buat busana itu khas untuk saya. Apatah lagi ia adalah penampilan pertama saya pada KL Fashion Week. Sudah tentu saya mahu ia memberikan kesan. 

"Bagi saya, apa saja komen diberikan itu adalah imaginasi mereka. Apa saja fesyen saya kenakan, dulu, sekarang dan akan datang semua itu boleh dilihat dari banyak sudut. Saya melihat ia sebagai fesyen, tapi orang lain nampak lain. Saya faham, penampilan tu kalau orang sekali imbas akan tergelak," katanya kepada Harian Metro. 

Menurut Aina yang popular menerusi lagu Sepi, busana hitam bersaiz besar yang menutup seluruh tubuh kecuali mukanya itu berjaya membuatkan orang bercakap mengenainya. 

"Bukan masanya dah saya sedih dengan komen-komen. Kalau dulu ya, saya akan sedih. Tipu kalau saya pakai macam tu tak harapkan orang bercerita. Penampilan dan busana tu saya memang nak orang bercakap. Saya pun gigih pakai macam tu. 

"Cuak juga nak masuk pusat beli-belah. Kalau acara karpet merah lain. Ini acara pertunjukan fesyen. Sampai ada orang terkejut tengok saya masa berjalan masuk tu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 2:45 PM