Tomok
Tomok
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Ketua Eksekutif Belbis Sdn Bhd yang juga penganjur Konsert 4G'S, Fendy Alias berkata, laporan polis yang dibuat oleh Tomok bersama tiga rakannya, iaitu Hazama, Black Hanifah dan Akim Ahmad bukan ditujukan secara langsung kepadanya.

Sebaliknya, beliau sendiri yang bertindak menasihatkan mereka bagi membuktikan tanggungjawab dan prihatin terhadap apa yang sudah berlaku.

"Sebabnya peminat-peminat yang beli tiket bertanya kepada artis apa yang berlaku terhadap Konsert 4G'S, jadi saya nasihatkan mereka buat laporan polis supaya tidak lagi ditanya peminat.

"Tapi kami dah jelaskan berkenaan 4G'S dan semua dah tahu apa masalah kita dan apa yang terjadi sebelum ini iaitu konsert ini ditunda akibat pandemik Covid-19.

"Ada satu ketika nak konsert pada Jumaat, tapi hari Isnin kami dimaklumkan konsert terpaksa ditarik balik kebenaran.

"Satu lagi masalah macam tiket yang ditanya kita tak terima apa-apa bayaran dari Redtix yang menguruskan penjualan tiket," katanya.

Menurutnya, Redtix pernah mengeluarkan kenyataan sesiapa yang inginkan pemulangan wang boleh berbuat demikian dengan mengisi borang yang disediakan.

"Bagaimanapun perkara ini tidak berlaku. Peminat tertanya-tanya sedangkan kami (Belbis) nak pulangkan. Redtix pun sampai sekarang hilang tanpa khabar berita.

"Duit penjualan tiket menerusi Redtix Sdn. Bhd. yang berjumlah RM100,000 sehingga kini belum dikembalikan kepada kami. Belbis pun dah hantar surat peguam kepada mereka.

"Redtix macam dah tak wujud lagi. Nombor telefon dan pejabat mereka pun dah tiada. Kalaulah duit itu diberikan kepada kami, dapatlah kami pulangkan semula kepada pembeli," katanya.

Fendy berkata, selepas empat kali penangguhan, dia tidak nampak sebarang kemungkinan untuk meneruskan lagi konsert ini. Tambah keempat-empat artis ini mempunyai jadual yang padat.

"Sebenarnya kita tak nak batalkan dulu, tapi bila dah Pandemik ini… kita juga dah terkesan.

"Malah hendak mengumpulkan balik penyanyi ini dalam satu tarikh yang lain juga agak susah sebab mereka ada komitmen masing-masing," katanya.

Terdahulu, Khamis lalu Tomok bersama tiga rakannya, iaitu Hazama, Black Hanifah dan Akim Ahmad membuat laporan polis berhubung Konsert 4G's yang masih tertangguh sehingga hari ini.

Tomok yang mewakili rakan-rakannya itu memohon agar pihak penganjur dapat menyelesaikan masalah ini secepat mungkin.

Konsert 4G's sepatutnya berlangsung pada 17 dan 18 April 2020 di Istana Budaya, Kuala Lumpur namun, ditangguh ke Disember, tahun sama. Namun sehingga kini konsert terbabit belum berlangsung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2023 @ 2:39 PM