Ridzuan Abdul Rahman


PROGRAM Mentor menemukan mereka dan seterusnya menjadikan hubungan Black, Akim, Hazama dan Tomok terus akrab.

Ia turut mencetuskan idea buat Black untuk melihat mereka bergabung pula dalam sebuah konsert istimewa.

Black berkata, dia gembira kerana selepas tiga tahun, impian itu menjadi kenyataan apabila mereka digabungkan dalam Konsert 4G’s yang akan berlangsung pada 17 dan 18 April depan di Istana Budaya.

“Persahabatan kami mengatasi segala-galanya. Ketika menjadi Mentor, kami tak buat persembahan dan apa salahnya kami buat konsert.

“Alhamdulillah, saya berjumpa orang yang tepat iaitu penganjur dari Belbis Sdn Bhd. Mereka pun kata ini idea yang baik.

“Selepas mencapai kata sepakat, kami pilih slogan ‘Gabungan Melodi Terindah’ untuk konsert ini,” katanya yang berterima kasih dengan rakannya kerana menyokong projek ini.

Hazama pula berterima kasih kepada Black kerana berusaha mengumpulkan mereka bagi menjayakan konsert ini.

“Apabila membabitkan kawan-kawan, mudah untuk kami berbincang. Bukan setakat menyanyi, tapi di luar pun kami suka melepak sama.

“Dalam konsert ini nanti, kami akan menyampaikan lagu hit dari beberapa era penghujung 1970-an hingga terkini.

“Lagu ini yang memberi inspirasi kepada kami dan menjadikan kami seperti sekarang. Sebagai penyanyi saya lihat lagu era 1970-an hingga 1990-an mempunyai melodi yang indah,” katanya.

PILIH slogan Gabungan Melodi Terindah untuk Konsert 4G’s. FOTO Eizairi Shamsudin
PILIH slogan Gabungan Melodi Terindah untuk Konsert 4G’s. FOTO Eizairi Shamsudin

Biarpun bergabung, semua mereka tetap akan membuat persembahan secara solo menyanyikan lagu masing-masing.

Komposer popular Aubrey Suwito diberi kepercayaan sebagai pengarah muzik konsert terbabit yang akan bergabung bersama pemuzik Orkestra Simfoni Kebangsaan.

Sebagai kawan akrab, mereka tidak mempunyai masalah berkenaan pembahagian lagu atau untuk mencuri perhatian peminat.

Akim berkata, 90 peratus lagu yang didendangkan bukan lagu sendiri.

“Ia adalah lagu orang lain. Itu sebabnya dinamakan Gabungan Melodi Terindah. Kalau lagu sendiri, baik kami buat konsert sendiri.

“Cuma, lagu yang akan dinyanyikan nanti dipilih kami sendiri hasil perbincangan bersama Aubrey.

“Kami akan mempersembahkan 25 hingga 30 lagu menerusi nyanyian solo, duet dan gabungan suara ramai,” katanya.

Bagi Tomok, konsert ini menjadi ruang atau medium buat mereka menampilkan kelainan menerusi lagu yang disampaikan.

“Peminat boleh tengok kami menyanyikan lagu daripada kumpulan Revolvers, Black Dog Bone dan Sons Of Adam yang takkan dapat dilihat di mana-mana.

“Sesi latihan belum berlangsung kerana kami masih dalam proses kumpul lagu.

“Kami juga kena tahu momentum persembahan dan perlu berbincang lagi dengan Aubrey,” katanya.

BERSAMA penganjur pada sidang media Konsert 4G’s di Istana Budaya. FOTO Eizairi Shamsudin
BERSAMA penganjur pada sidang media Konsert 4G’s di Istana Budaya. FOTO Eizairi Shamsudin

Sebagai kelainan, empat sekawan ini juga akan merakamkan single baharu untuk dinyanyikan pada konsert itu nanti.

“Single berjudul Tukul Dan Paku ini ciptaan Aubrey Suwito dan lirik AD Samad. Konsep lagunya memberi satu tauladan dan nasihat.

“Sebenarnya kami dah lama bincang nak buat single ini, tapi tiada alasan yang kukuh untuk merealisasikannya.

“Apabila adanya konsert ini, ia dibentangkan kembali dan jadi kenyataan. Ia bukan konsep rock kapak, tapi catchy,” katanya yang mengharapkan peminat menyokong konsert ini.

Konsert yang bakal menjadi agenda istimewa dalam kalendar Visit Malaysia Year 2020 ini menawarkan tiket dari RM98, RM248 hingga RM518.

Tiket boleh didapati menerusi www.airasiaredtix.com.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 6:00 AM