Agensi

Los Angeles: Penyanyi dan pelakon terkenal Hollywood, Olivia Newton-John meninggal dunia pada usia 73 tahun, pagi hari ini akibat kanser payudara.

Berita sedih kematian bintang filem Grease itu dimaklumkan suaminya, John Easterling menerusi media sosialnya.

BBC memetik kenyataan pengurus mendiang mengesahkan kematian Olivia berpunca daripada kanser berkenaan.

Olivia yang terkenal dengan watak Sandy dalam filem fenomena Grease lakonannya bersama John Travolta menghembuskan nafas terakhir di ladang miliknya di California.

Easterling berkata, isterinya pergi dengan tenang di sisi ahli keluarga termasuk anak perempuan mereka Chloe Lattanzi dan kenalan rapat.

Easterling menerusi Instagram juga memohon agar orang ramai menghormati privasi ahli keluarga ketika waktu sukar ini.

"Olivia adalah simbol kejayaan dan harapan selama 30 tahun berkongsi pengalamannya menghidap kanser payudara. Inspirasi mendiang untuk sembuh dan penerokaannya dalam mencari penawar berasaskan tumbuh-tumbuhan akan diteruskan Yayasan Olivia Newton-John," tulisnya.

OLIVIA Newton-John. FOTO AFP
OLIVIA Newton-John. FOTO AFP

Olivia sebelum ini mendedahkan menjalani rawatan kanser yang merebak ke tulang belakangnya pada September 2018.

Ia adalah diagnosis kanser ketiganya selepas serangan kanser payudara pada awal 1990-an dan pada 2017.

Ketika hayatnya, Olivia mencipta kejayaan sebagai penyanyi lagu country dan menjual jutaan unit album di seluruh dunia.

Wataknya sebagai Sandy dalam filem Greese melonjakkan namanya di puncak populariti.

Filem Grease yang ditayangkan pada 1978 itu menampilkan tiga single duet popular termasuk You're The One That I Want dan Summer Nights.

Olivia dilahirkan di Cambridge, United Kingdom pada 26 September 1948.

Beliau mula dikenali selepas merakamkan lagu If Not For You ciptaan Bob Dylan yang menguasai Carta UK pada 1971.

Antara kejayaan yang diraihnya ialah memenangi empat trofi Grammy dan memiliki tujuh single nombor satu di Amerika Syarikat di antara tahun 1974 hingga 1977.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 11:32 AM