Nur fatin  bersama Olivia yang kini menunjukkan perkembangan positif selepas menerima rawatan homeopati sejak beberapa bulan lalu. FOTO Arifin Salleh
Nur fatin bersama Olivia yang kini menunjukkan perkembangan positif selepas menerima rawatan homeopati sejak beberapa bulan lalu. FOTO Arifin Salleh
Oleh Arifin Salleh

Kluang: Ramai yang menghulurkan pertolongan dan perkembangan kesihatannya semakin positif selepas menerima rawatan homeopati sejak beberapa bulan lalu.

Begitu keadaan terkini Olivia Nur Maisarah Naqiu Fitri, 18 bulan, yang menghidap penyakit hidrosefalus (kepala besar) selepas berita mengenai anak bongsu daripada lima beradik itu tersiar di akhbar sebelum ini.

Ibunya, Nurfaten Mohd Yusoff, 25, berkata, dia dan suami, Naqiu Fitri Abdullah, 33, gembira dengan perubahan berkenaan.

"Alhamdulillah, Olivia semakin sihat malah boleh menegur kami dan sesekali dia menggerakkan tangannya," katanya ketika ditemui di rumahnya, Taman Kiara Mas, di sini, hari ini.

Olivia dilahirkan pada 17 November 2013 dalam keadaan sihat namun selepas dua minggu doktor mendapati kepala bayi itu bermasalah kerana saiznya agak luar biasa.

Akibat penyakit itu, kepala Olivia menjadi lebih besar berbanding bayi normal sehingga membataskan pergerakannya dan hanya mampu terbaring.

Nurfaten berkata, selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kluang sebanyak RM300 sebulan, dia bersyukur kerana selepas mendapat liputan akhbar, ramai pihak tampil menghulur pertolongan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 12:10 AM