Ning Baizura
Ning Baizura

Kuala Lumpur: Penyanyi Ning Baizura, 47, berterima kasih khasnya golongan remaja yang mengutuknya gara-gara tular klip nyanyiannya sumbang mendendangkan lagu sendiri.

Ning mencabar mereka datang sendiri menonton persembahannya secara langsung jika benar-benar ingin tahu kemampuan sebenarnya sebagai penyanyi berpengalaman selama lebih tiga dekad.

"Kepada budak-budak yang tahu kutuk saya saja, buat macam-macam video, nak naikkan diri sendiri, terima kasih saya ucapkan. Alhamdulillah dapat lebih banyak peminat dan pengikut semalam dan hari ini.

"Mampukah anda bertahan selama 30 tahun? Tak puas hati, datang sendiri tengok 'show' atau konsert saya ya. Setakat nak kutuk, nak cari kelemahan orang, sesiapa pun boleh buat," katanya.

Ning menyifatkan golongan yang cuba menjatuhkan reputasinya ibarat menangguk di air keruh.

"Orang macam ini namanya 'opportunist' yang suka 'cut' dan 'paste'. Allah saja tahu kan? Alhamdulillah saya masih bertenaga, berupaya, sihat, cantik, bahagia, dan bergelar Ning Baizura," katanya.

Disebabkan video tularnya menyanyikan lagu Awan Yang Terpilu itu, pengikut Ning di media sosial turut naik mendadak. Di Instagram sudah mencecah lebih 333,000 dan TikTok, lebih 42,500.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 12:51 PM