NING Baizura
NING Baizura

Kuala Lumpur: Penyanyi Ning Baizura, 57, menjadi mangsa penipuan apabila sebuah akaun Facebook yang menggunakan namanya dengan memuat naik foto wanita berpakaian dalam menerusi Facebook Story.

Ning yang mendapat tahu perkara itu baru-baru ini berkata, dia sudah lama dia tidak aktif atau memiliki sebarang akaun di platform media sosial itu.

"Tiba-tiba ada orang hantar gambar ini kepada saya sewaktu sibuk menjalani latihan nyanyian minggu lalu. Ada yang bertanya sama ada saya menjual pakaian dalam wanita. Untuk pengetahuan, saya tidak pernah memiliki sebarang akaun rasmi mahupun kelab peminat di Facebook," katanya.

Penyanyi lagu Awan Yang Terpilu itu berkata, dia sebolehnya malas ambil pusing kerana banyak perkara lain untuk diuruskan.

Justeru, dia meminta orang ramai supaya tidak mudah terperdaya atau memberi respon terhadap akaun palsu itu supaya tidak menjadi mangsa penipuan.

"Individu tidak bertanggungjawab itu sudah hampir setahun melakukan penyamaran itu," katanya.

Ning juga enggan memanjangkan isu itu termasuk mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap pemilik akaun berkenaan.

"Malaslah nak buang masa, habiskan masa dan tenaga untuk hal remeh macam ini. Baik gunakan akal dan tenaga di tempat lain. Orang itu mungkin inginkan perhatian saya. Saya tidak mahu mencuit hati orang itu sedikit pun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2022 @ 5:00 PM