CIKGU Zack membetulkan kesalahan ejaan menerusi media sosial. FOTO ihsan Saliza Ibrahim
CIKGU Zack membetulkan kesalahan ejaan menerusi media sosial. FOTO ihsan Saliza Ibrahim
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: Menyedari kesalahan ejaan perkataan Bahasa Melayu (BM) yang kerap dilakukan ramai pihak, seorang guru tampil membetulkan perkara berkenaan.

Lebih menarik, Guru BM, Saliza Ibrahim, 33, tampil membetulkan kesalahan itu menerusi media sosial iaitu Instagram dan Twitter miliknya.

Dia yang lebih dikenali dengan nama Cikgu Zack itu juga sering muncul di kaca televisyen dan dipanggil dalam seminar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) subjek BM.

Menurutnya, dia tidak menyangka perkongsiannya mengulas mengenai ejaan sebenar perkataan dalam BM itu mendapat perhatian warganet daripada setiap peringkat umur.

"Saya terkejut apabila mendapat mesej melalui Instagram daripada mereka yang lebih tua berterima kasih kerana memberi ilmu itu.

"Tidak sangka ilmu yang bagi saya biasa itu cukup dihargai bukan saja pelajar yang bakal menduduki peperiksaan malah semua pihak daripada pelbagai latar belakang," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berpengalaman selama tujuh tahun sebagai guru tuisyen pelajar sekolah menengah, Cikgu Zack berkata, kesalahan ejaan beberapa perkataan itu bukan saja sering ditulis tidak tepat pelajar malah ia dinormalisasikan lagi menerusi siaran televisyen.

CIKGU Zack. FOTO ihsan Saliza Ibrahim
CIKGU Zack. FOTO ihsan Saliza Ibrahim

"Sesetengah pengarah juga menggunakan ejaan yang salah bagi tajuk filem mereka misalnya perkataan 'lagenda' yang sepatutnya ditulis 'legenda'.

"Bukan itu saja, perkataan 'reda' juga sering ditulis 'redha' (ejaan yang salah) pada tajuk drama atau telefilem sehingga ia diikut oleh orang lain.

"Sesetengah iklan juga merosakkan bahasa ibunda kita seperti penggunaan perkataan 'berbaloi-baloi' yang sepatutnya ditulis 'berbaloi' saja," katanya.

Dia yang juga tenaga pengajar di pusat tuisyen Math Clinic di Lembah Klang mengakui pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian bukanlah mudah.

"Bagi saya belajar dalam kaedah bersemuka sememangnya lebih efektif berbanding dalam talian akibat daripada halangan tertentu.

"Walaupun kaedah pembelajaran bertukar kepada 'online' di rumah, tidak sangka pelajar dalam kelas saya rata-rata keputusan peperiksaan subjek BM mereka meningkat ke tahap lebih baik.

"Mungkin juga disebabkan pelajar tuisyen saya ini lebih menghargai ilmu diberi memandangkan ia dibayar oleh ibu bapa mereka," katanya.

Dia yang berasal dari Terengganu berkata, gaya penyampaian guru turut menjadi faktor minat pelajar dalam subjek yang diajar.

"Waktu 20 minit terawal dalam kelas itu adalah waktu kritikal yang mana seorang guru itu perlu cuba menarik perhatian pelajar untuk minat dan fokus untuk mendengar.

"Walaupun penampilan saya sering dianggap bukan guru BM, namun sekurang-kurangnya ia dapat menarik perhatian pelajar sebaik saja saya melangkah ke dalam kelas," katanya yang dalam perancangan menyambung pengajian ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2020 @ 8:38 PM