Zaara Talita


Kuala Lumpur: Guru selebriti yang dikenali sebagai Cikgu Zack menjelaskan ayat 'denyut jantungku berdebar' dalam lirik lagu Casablanca nyanyian Nuha Bahrin dan Naufal Azrin adalah tidak tepat.

Zack atau nama sebenarnya Saliza Ibrahim yang juga guru Bahasa Malaysia berkata, penggunaan perkataan 'denyut' adalah tidak tepat dan perlu digantikan dengan perkataan 'degup' yang lebih sesuai untuk gambaran jantung.

"Degup digunakan untuk jantung bukan denyut. Saya fikir mungkin jantung dia, 'skala richter' rendah. Atau pun mungkin kedudukan jantung dia berada dekat bahagian kepala, mungkin bahagian nadi, di pergelangan tangan.

"Denyut dengan degup, berbeza. Jadi bila saya bayangkan jantung dia berdenyut, macam nyut nyut macam tu. Risau saya, takut dia ada masalah lemah jantung. Kita kena kejarkan dia ke hospital. Tapi saya suka lagu ni," katanya.

Guru Bahasa Malaysia membuat perkongsian secara bergurau tetapi dengan fakta menerusi video yang dimuat naik di TikTok.

Lagu ciptaan Daqmie dan Wan Saleh serta lirik Daqmie dan Abdulkarim Al Ali itu sekali lagi meraih perhatian apabila Zack membuat ulasan berkenaan.

Dalam pada itu, Zack turut menjelaskan yang pelanggaran hukum tatabahasa kadang-kadang dibenarkan dalam penulisan kreatif seperti puisi atau lirik lagu.

"Memang betul penulisan kreatif seperti puisi, lirik lagu dan sebagainya ada sedikit kebebasan untuk melanggar hukum tatabahasa. Tetapi awak kena tahu yang kita langgar hukum tatabahasa itu adalah perkara yang biasanya tidak boleh dibayangkan.

"Contohnya, penggunaan kata sendi nama 'di'. Ada lirik lagu raya dia tulis 'di hari raya' yang sepatutnya 'pada hari raya. Sebab 'di' kita tak dapat bayangkan jadi tiada masalah. Lagi satu mencintai jadi menyintai.

"Tapi kalau yang membabitkan kata nama dan juga kata kerja, perkara yang boleh kita bayangkan dan kalau kita salah pilih perkataan itu, dia akan bagi bayangan yang berbeza kepada jalan cerita lagu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2022 @ 12:04 PM