Kumpulan band rock Bankface pada sidang media konsert Bunkface sempena 15 tahun di Zepp Kuala Lumpur pada 30 dan 31 Julai ini. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Kumpulan band rock Bankface pada sidang media konsert Bunkface sempena 15 tahun di Zepp Kuala Lumpur pada 30 dan 31 Julai ini. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Georgie Joseph

 

Kuala Lumpur: Walaupun pernah disuruh berhenti bermain muzik serta menutup studio, kumpulan Bunkface bersyukur tidak patah semangat kerana muzik satu-satunya kecintaan mereka.

Justeru, mereka terharu apabila Konsert Bunkface! 15 Years Of Korang yang akan berlangsung pada 30 dan 31 Julai ini, jam 8 malam, di Zepp KL mendapat sambutan luar biasa dan tiket hari pertamanya terjual habis.

"Sewaktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), ada kawan-kawan yang risau dan menyuruh kami tutup studio. Ini kerana kami memang tidak menjana pendapatan kerana lebih dua tahun tak dapat buat persembahan.

"Kami memang ada cuba pelbagai kerja lain kerana masing-masing ada keluarga. Jadi ejen perniagaan, pelaburan, tetap tidak jalan dan akhirnya kembali bikin muzik juga.

"Apabila pengurus memberitahu tiket konsert kami terjual habis, memang tak sangka kerana tak pernah berlaku. Memang ada hikmah dua tahun itu dan cetus kerinduan buat peminat," kata penyanyinya, Sam.

Bagi Bunkface, pencapaian terbaru ini menjadi petanda bahawa aturan rezeki mereka dalam muzik sememangnya cukup indah. 

Pemain bass, Youk berkata, setiap kali rasa patah semangat, ada saja rezeki masuk walaupun sewaktu PKP. 

"Kami dapat buat tawaran buat 'jingle' misalnya pada waktu kami perlukan pendapatan. Itulah yang membuatkan kami terus percaya bahawa apa saja dugaan pun, pengakhirannya rezeki kami dalam muzik ada. Kerana itulah kami tiada rasa ingin berhenti pun," katanya.

Bukan sekadar melepaskan gian, Bunkface berjanji akan memberikan persembahan terbaik pada konsert itu nanti. Bakal mempersembahkan lebih 25 lagu, mereka mahu kehadiran peminat berbaloi.

"Kami dalam proses persiapkan segala aspek kerana bukan mudah persembahkan 25 lagu untuk dua hari. Baik daripada segi stamina mahupun susunan terbaik lagu-lagu kami nanti.

"Paling penting susunan muziknya kerana kami mahukan penonton boleh menyanyi bersama kelak. Kami tak mahu berikan persembahan yang tidak setimpal dengan harga tiket dibeli mereka," kata pemain gitar, Paan.

Dianjurkan Hitman Solutions, konsert Bunkface! 15 Years Of Korang adalah bersempena ulang tahun ke-15 penubuhan band punk rock terbabit. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal berkata, pihaknya sangat berbangga memilih Bunkface menjadi penghibur tempatan pertama sepanjang menganjurkan pelbagai konsert.

Tiket berharga RM100 dan RM150 untuk hari kedua boleh dibeli menerusi laman web www.hitmanlive.com. Tiket hari pertama habis terjual dalam tempoh 11 jam sahaja selepas dilancarkan pada 14 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2022 @ 6:18 PM