BUTTERFINGERS janji persembahan istimewa.
BUTTERFINGERS janji persembahan istimewa.
Ridzuan Abdul Rahman


PEMAIN gitar kumpulan Butterfingers, Loque mendedahkan pernah memohon Dana Kandungan Digital (DKD) Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Kumpulan MyCreative Ventures Sdn Bhd, namun sering gagal.

"Saya akui pernah berbuat demikian. Selalu 'apply' (mohon), tapi tak pernah dapat. Pada kami (penolakan) itu dah asam garam.

"Kami tak dapat ulas panjang berkenaan isu lain kerana tak pernah dapat dana. Memang saya mencuba, bangun seawal jam 8 pagi pergi Kementerian Komunikasi Digital.

"Selepas itu senyap tak dapat e-mel. Apa-apa pun saya pernah cuba lebih lima kali mendapatkan dana bagi menjayakan konsert," katanya.

Menurutnya, dia bukannya mahu mengadu, tetapi sekadar mahu berkongsi pengalaman kepada semua.

"Mungkin sebab kami tak kenal orang dalam MyCreative. Tapi kami 'present' (persembahkan) benda sebenar fakta berkenaan penganjuran konsert kami.

"Apa-apa pun kami tetap teruskan juga konsert Malayneum pada Oktober lalu. DKD diperkenalkan selepas pandemik Covid-19.

"Sebelum Malayneum, saya ada cuba juga mohon untuk beberapa projek lain antaranya MonoloQue. Mungkin nama kami tak cukup gah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Buterfingers bergabung dengan dua kumpulan indie lain iaitu Hujan dan Bunkface menjayakan Konsert Und3rground yang akan berlangsung di Surf Beach, Sunway Lagoon, Petaling Jaya, pada 2 Mac depan.

Konsert anjuran Hitman Solutions menjadi acara paling ditunggu-tunggu tahun ini, terutama bagi penggemar muzik daripada tiga band 'gergasi' terbabit.

"Terima kasih kepada penganjur kerana tampil dengan idea menggabungkan band daripada generasi yang berbeza dalam satu konsert.

"Bagaimanapun, ideologi daripada kami tetap sama untuk hadiahi peminat dengan persembahan nanti.

"Jadi, akan ada kejutan nanti, cuma apa saya boleh katakan ia akan jadi konsert yang berbeza berbanding sebelum ini," katanya.

Menurut Loque, Butterfingers yang turut dianggotai Emmett, Loko dan Kadak berjanji memberikan persembahan yang ada makna tersendiri buat mereka dan peminat.

Konsert Und3rground - Butterfingers, Hujan dan Bunkface turut disokong oleh rakan radio rasmi daripada Media Prima Audio (MPA), iaitu Hot FM, Fly FM, Molek FM, Kool101 FM dan Eight FM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 6:55 AM