Kumpulan Insomniacks
Kumpulan Insomniacks
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Kumpulan Insomniacks yang dianggotai empat anak muda iaitu Wan Arif Iskandar Adnan (Iskandar) selaku pemain bass; Syed Mir Iqbal Syed Adeli (Iqie) vokalis dan gitar utama; Ahmad Danial Ahmad Roslan (Danial) gitar ritma; serta Gavin Wong (Gavin) dram kini hanya tinggal bertiga.

Ia selepas pemain dram kumpulan itu Gavin mengumumkan untuk berehat panjang sekali gus tidak bersama kumpulan itu lagi.

Mewakili kumpulan Insomniacks, Iskandar berkata mereka menerima keputusan itu dengan berlapang dada walaupun berat hati untuk 'melepaskan' Gavin.

"Dengan berat hati, kami ingin mengumumkan bahawa Gavin akan berehat panjang dari kumpulan ini untuk tempoh masa yang tidak ditentukan atas sebab peribadi.

"Ini bukanlah keputusan yang mudah untuk dibuat tetapi jangan risau, Gavin masih dan akan sentiasa menjadi keluarga kepada kami. Dengan itu, Gavin tidak akan menjadi sebahagian daripada beberapa projek kami yang akan datang," katanya.

Pemain dram, Gavin Wong
Pemain dram, Gavin Wong

Menurut Iskandar, dia berharap peminat dapat menerima keputusan itu dan akan terus menyokong semua projek Insomniacks pada masa akan datang termasuk apa saja dilakukan Gavin selepas ini.

"Kami berharap semua orang dapat memahami keputusan ini dan menghormati privasinya. Kami menyayangi Gavin dan berharap semua orang dapat menunjukkan kasih sayang kepadanya dalam komen dan menyokongnya dalam usaha masa depannya," katanya.

Sepanjang lima tahun pembabitan Gavin bersama Insomniacks, mereka sudah melakar pelbagai pencapaian yang membanggakan antaranya, album EP berjudul Kepala Batu yang dilancarkan pada 2020 mendapat sambutan baik peminat termasuklah dua lagu dalam album berkenaan iaitu Pulang dan Reminisensi.

Malah, lagu Sempurna juga berjaya menduduki tangga pertama carta RIM selama 13 minggu dan masih berterusan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 4:07 PM