Sudirman Mohd Tahir

Genting Highlands: Pelakon, Elisya Sandha, 23, yang dijangka bersalin pada 16 Jun ini bakal dikurniakan bayi perempuan.

Elisya atau nama sebenarnya Nur Elisya Sandha Hassan berkata, sepanjang tempoh kehamilan dia sudah mempersiapkan diri dengan membaca buku mengenai keibubapaan dan penyusuan ibu.

"Kalau boleh nak bersalin normal, tapi kalau ditakdirkan kena menjalani proses pembedahan saya tak kisah. Apa yang penting bayi keluar dengan selamat.

"Sekarang ini usia kandungan sudah mencecah 36 minggu. Dari segi persediaan dan kebimbangan sebagai ibu muda, sebenarnya saya dan suami 'go with flow' saja. Untuk anak pertama memang tak nak merancang.

"Persiapan saya banyak baca buku, macam mana nak menjadi ibu bapa, macam mana nak susukan anak. Sebab ini pengalaman pertama, jadi tak tahu apa-apa. Banyak kena belajar," katanya kepada Harian Metro.

Elisya bersama suami, Haq.
Elisya bersama suami, Haq.

Terdahulu, Elisya dan suami, Uzair Haqimy, 26, mengadakan majlis 'baby shower' seterusnya memperkenalkan jantina bayi dalam kandungan di sebuah hotel, di sini, hari ini. 

Sementara itu, Haq yang juga anak kepada pelakon dan penerbit, Sheila Rusly berkata, dia sudah bersedia menjadi bapa selain berasa gementar.

"Perasaan sekarang adalah gementar sikit sebab saya tahu situasi yang bakal dilalui isteri, bertarung nyawa dan akan banyak darah.

"Bapa saya sendiri pun sudah pesan kena ada di sisi isteri ketika dia bersalin. Dia cakap, kalau ada niat buruk saya kena ingat semula pengorbanan isteri bertarung nyawa ketika bersalin. Dalam masa sama saya sudah bersedia menjadi bapa," katanya.

Elisya dan Haq berkahwin pada 21 Ogos tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 7:46 PM