Eyra Hazali bersama suami dan anak mereka
Eyra Hazali bersama suami dan anak mereka

Kuala Lumpur: Pelakon, Eyra Hazali berkongsi mengenai situasi mencemaskan yang dilaluinya apabila terpaksa ditahan di hospital kerana bayi dalam kandungannya yang juga bakal cahaya mata keduanya, tidak bergerak.

Dalam hantarannya di Instagram Story, Eyra yang juga isteri kepada pemain bola sepak Johor Darul Takzim, Haziq Nadzli berkata dia bagaimanapun sudah dibenarkan pulang ke rumah.

"Alhamdulillah, Eyra dah 'discharge'. Pergi hospital sebab bayi tak respon langsung walaupun Eyra cucuk-cucuk perut dan kawasan ari-ari Eyra sakit sangat.

"Tapi, Alhamdulillah, bayi okay cuma bayi sekarang besar dua minggu dan Eyra ada kontraksi sikit tadi," tulisnya.

Dalam hantaran sama, Eyra juga mengucapkan terima kasih dan memohon doa daripada peminat dan pengikutnya di platform media sosial itu.

"Dah cucuk dexa (dexamethasone), harap-harap bayi tunggu lama sikit baru keluar. Terima kasih atas doa-doa semua dan teruskan doa ya untuk ibu dan bayi," tulisnya.

Januari lalu, Eyra membuat pengumuman mengenai kehamilannya menerusi video yang dimuat naik di Instagram.

Eyra dan Haziq mendirikan rumah tangga pada 1 November 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki berusia dua tahun, Muhammad Hayder Qhalish Muhammad Haziq.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 4:03 PM