Eyra Hazali
Eyra Hazali
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Eyra Hazali membuat laporan polis di Johor Bahru kelmarin terhadap syarikat pinjaman wang yang menggunakan gambar dia sekeluarga untuk tujuan penipuan.

Eyra ketika dihubungi di Johor Bahru berkata, dia menghubungi ejen syarikat pinjaman wang itu dan memintanya supaya memadam gambar mereka tetapi tidak diendahkan.

"Saya dapat tahu mengenai penyalahgunaan gambar kami sekeluarga ini sejak Khamis minggu lalu. Jadi, saya terus hubungi nombor telefon yang tertera dan meminta supaya gambar itu dipadam.

"Namun, individu itu nampaknya tidak mengendahkan permintaan saya, malah tidak takut jika saya mengambil tindakan undang-undang," katanya kepada Harian Metro.

Menurut isteri kepada penjaga gol JDT, Muhammad Haziq Nadzli ini, dia juga menghubungi ibu pejabat syarikat itu yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

"Saya hubungi ibu pejabat mereka, namun mereka seperti ingin melepas tangan kerana menurut mereka, penyalahgunaan gambar oleh ejen bukan tanggungjawab mereka," katanya.

Menurutnya, selepas dia berkongsi mengenai perkara itu di media sosial, dia menerima beberapa kiriman mesej daripada mangsa-mangsa lain.

"Ada juga individu lain yang terkena benda sama, bahkan ada yang sudah ditipu ribuan Ringgit. Menurut mangsa itu, suaminya sudah mencari lokasi pejabat seperti mana yang tertera di Facebook syarikat itu, namun alamat itu tidak wujud.

"Dalam situasi ramai yang memerlukan sumber kewangan, ada individu tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan," katanya.

Eyra berkata, dia sudah berbincang dengan peguam dan akan menghantar surat tuntutan permohonan maaf dan saman ganti rugi.

"Pilihan lain adalah terus bawa kes ini ke mahkamah. Saya tak kisah kalau ia mengambil masa lama untuk diselesaikan demi nama baik keluarga saya," katanya.

Eyra turut menyeru supaya masyarakat tidak mudah terpedaya dengan penipuan sebegini.

"Kalau anda ingin membuat pinjaman peribadi, cari saluran yang betul dan buat pinjaman daripada syarikat yang berdaftar serta sah," katanya.

Gambar yang disalah guna itu memaparkan Eyra, Haziq serta anak mereka Muhammad Hayder Qhalish dan disiarkan kononnya Haziq terlantar di hospital serta memerlukan sejumlah wang untuk membayar kos perubatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 3:25 PM