Pak Nil (tengah) bersama empat penyampai berita, Berita 7.57, dari kiri, Adriana, Nadhra, Dr Mohd Ghazali dan Ain Syuhada.
Pak Nil (tengah) bersama empat penyampai berita, Berita 7.57, dari kiri, Adriana, Nadhra, Dr Mohd Ghazali dan Ain Syuhada.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pengacara terkenal Datuk Aznil Nawawi dilantik menjadi tenaga pengajar bagi melatih dan membimbing penyampai berita di Berita 7.57 saluran Awesome TV.

Aznil berkata, dia mahu memberikan 'rasa' dan 'nyawa' dalam penyampaian berita sekali gus keluar dari kelemahan yang masih terdapat dalam kebanyakan penyampai berita dalam negara.

"Kalau sebelum ini pengalaman saya melahirkan ramai bintang hebat. Pada waktu sama, di stesen TV yang saya bersama sebelum ini pun saya bentuk penyampaian berita di stesen TV itu.

"Hari ini saya melangkah ke stesen yang menyampaikan nada kelantangan mereka. Ini yang akan saya bentuk. Kadang kehebatan berita tak sampai pada penonton disebabkan penyampai berita itu. Jadi kena senadakan. Mungkin akan dilihat percubaan berani dan dikritik. Tapi inilah keberanian yang dibawa Awesome TV.

"Kalau bercakap soal kelemahan, kebanyakan penyampai berita masih di takuk lama. Baca berita harus seperti perbualan. Ini cabaran yang masih belum ditembusi stesen TV. Ada yang bernada robot dan menjadi burung kakak tua yang hanya baca berita tapi tak faham apa disampaikan," katanya.

Aznil ditemui pada Majlis Sidang Media Pengumuman Kolaborasi Strategik Berita 7.57 dan Datuk Aznil Haji Nawawi, hari ini.

Pada masa sama, menurut Aznil dia akan menggunakan pengalaman selama 30 tahun dalam bidang penyiaran untuk membimbing empat penyampai utama, Berita 7.57.

"Saya pernah lalui era serius, bahasa baku dan kemudian beralih ke pengacaraan santai. Gabungan ini bukan nak menjadi pembaca yang ada perasaan, tapi memperkenalkan lebih pada perbualan.

"Saya nak membawa pengalaman dulu dengan pendedahan sekarang. Ini cabaran agar pembacaan berita ditonton oleh golongan pelbagai. Soal relevan atau tak, harus ingat macam mana saya relevankan diri sampai sekarang mengikut selera penonton. Saya cuba berikan rasa dan 'approach' biar ke depan," katanya.

Empat penyampai berita mereka terdiri daripada Dr Mohd Ghazali Taib, Ain Syuhada Ahmad Bohari, Nadhra Mohd dan Adriana Ghafar.

Berita 7.57 yang mengangkat slogan 'Rakyat Keutamaan Kami' bersiaran setiap hari, jam 7.57 hingga 8.30 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 8:24 PM