PU Amin.
PU Amin.
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pendakwah bebas, PU Amin berharap kerajaan dapat memberi pendidikan yang holistik sekali gus menghalang kemasukan filem atau karya-karya luar negara yang boleh membawa kepada kucar-kacir pemikiran masyarakat di Malaysia.

PU Amin berkata, filem-filem berunsurkan seks, maksiat, kekejaman mahu pun kehidupan songsang yang ditayangkan di panggung wayang atau platform pendigitalan hari ini wajar disekat.

"Kita tahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) daripada dulu lagi sudah cuba untuk menyekat. Malah, negara pun ada Lembaga Penapisan Filem (LPF) yang berperanan untuk menapis filem atau drama yang menyentuh isu sensitiviti agama, budaya, bahasa Malaysia atau apa saja yang sensitif. 

"Saya kira wajar jika kerajaan memainkan peranan untuk mendidik masyarakat dan dalam masa sama serentak menghalang kemasukan filem atau karya yang membawa kepada kucar-kacir pemikiran masyarakat.

"Ini kerana, pemikiran adalah satu senjata yang hebat. Kalau ia dirosakkan, bimbang kita tidak mampu mempertahankan di tempat kita sendiri.

"Kita faham dugaan atau kesan negatif yang datang daripada filem di dalamnya ada unsur negatif kerana akan memberi kesan kepada tontonan kanak-kanak. Saya takut ia akan menjadi satu budaya yang kasar dan kejam," katanya.

Menurut PU Amin, dia melihat isu video adegan 'panas' membabitkan aktor popular Zul Ariffin yang tular sebagai satu hikmah dan pengajaran buat semua.

Malah, PU Amin turut menjawab mengenai sikap rakyat Malaysia yang kini dilihat semakin cakna dan mahu mengubah landskap industri seni ke arah islamik. 

"Setiap sesuatu yang berlaku pasti ada hikmah,  pengajaran dan menjadi pengalaman buat semua. Bagi saya, setiap ketelanjuran itu, insha-Allah ada peluang kedua untuk kita perbaiki dan sentiasa berhati-hati pada waktu mendatang.

"Kalau nak cakap mengenai landskap industri seni ke arah islamik, saya kira untuk smpai ke tahap itu memerlukan kefahaman yang lebih tinggi  dalam kalangan masyarakat.

"Tapi apa yang boleh kita tekankan dan memang dilaksanakan iaitu memastikan norma ketimuran masih dikekalkan selain menjaga kesopanan dan tatasusila yang baik sebagai masyarakat yang berbilang  kaum. 

"Hari ini kita berdepan dengan suasana mengkehadapan dan memajukan filem kita. Apa yang boleh kita tengok banyak filem-filem kita sendiri seperti filem Munafik yang tiada adegan menyentuh tangan, namun mendapat sambutan yang positif," katanya.

Terdahulu Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menerusi akaun Twitter berkata, Zul akan disiasat di bawah Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia (KMM) 1998 berhubung isu video babak 'panas' dalam drama Perempuan Itu yang tular.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 6:24 PM