UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI). FOTO Arkib NSTP
UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI). FOTO Arkib NSTP
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Perbadanan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memperuntukkan dana RM100,000 untuk Festival Filem dan Video Pelajar Malaysia (FFVPM) anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Ogos, depan.

Tidak hanya itu, FINAS juga  menawarkan dana berupa Geran Penerbitan berjumlah RM100,000 kepada pemenang bertuah dalam acara berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim berkata, beliau amat berbesar hati apabila UPSI sedia bekerjasama untuk membuka ruang sinergi demi kebaikan kedua-dua pihak. 

"FINAS sebagai peneraju industri kreatif negara, tampil mempelawa UPSI untuk bekerjasama menganjurkan acara FFVPM pada Ogos depan. 

"Ia berikutan, FFVPM dilihat sebagai inisiatif bagi menggalak dan menghargai bakat kreatif dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta terutama mereka terbabit dalam bidang kandungan kreatif," katanya. 

Terdahulu, Md Nasir bersama beberapa pegawai kanan FINAS mengadakan kunjungan hormat bertemu Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff untuk berbincang urusan kerjasama menjayakan program itu bersempena sambutan ulang tahun ke-100 UPSI. 

Katanya, kerjasama UPSI dan FINAS dalam penganjuran FFVPM bertujuan mencungkil bakat  pelajar dalam bidang kesenian selain membina jalinan kerjasama dan pertukaran pandangan sesama pelajar universiti dan industri. 

"FFVPM adalah inisiatif bagi menggalak dan menghargai bakat kreatif dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta terutama, mereka yang terbabit dalam bidang kandungan kreatif," katanya. 

Justeru, beberapa kategori di FFVPM yang akan menerima hadiah seperti Filem Pendek Terbaik, Filem Dokumentari Terbaik, Filem Animasi Terbaik, Filem Iklan Terbaik, Filem dan Video Eksprimen Terbaik, Skrip Terbaik, Kostum Terbaik, Sinematografi Terbaik, Muzik Terbaik, Grafik Terbaik, Video Klip Terbaik, Pengarah Harapan, Penyunting Terbaik, Penataan Seni Terbaik serta Penataan Bunyi Terbaik.

Peserta yang menang berpeluang menerima hadiah berupa trofi, wang tunai, Geran Dana Kandungan Digital, serta sijil penyertaan.

Hadir sama pada majlis kunjungan hormat itu ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Marzita Puteh; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Pro Ts Dr Suriani Abu Bakar; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Norkhalid Salimin serta ahli JawatanKuasa Pengurusan Universiti (JKPU). 

Sementara itu, Md Amin menganggap kerjasama dijalin penting dalam melahirkan mahasiswa universiti yang versatil dan berketerampilan sebelum mereka melangkah keluar meninggalkan universiti. 

"Industri kandungan kreatif hari ini dilihat mampu menjana pendapatan kepada graduan yang memanfaatkan bakat dan idea yang diperolehi mereka setiap hari," katanya. 

Beliau berkata UPSI menyambut baik kerjasama yang ditawarkan oleh FINAS dan mahasiswa UPSI yang kreatif perlu mengambil peluang menyertai FFVPM. 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 4:02 PM