Muhammad Faizal (dua dari kanan) ketika dinobatkan juara program rancangan realiti televisyen berbentuk keusahawanan, Taikun Muda. Foto Ihsan UPSI
Muhammad Faizal (dua dari kanan) ketika dinobatkan juara program rancangan realiti televisyen berbentuk keusahawanan, Taikun Muda. Foto Ihsan UPSI
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Muhammad Faizal Ruhaijat, 22, mengungguli program rancangan realiti televisyen berbentuk keusahawanan, Taikun Muda.

Program yang disiarkan di TV AlHijrah itu bersiaran selama enam minggu diadakan atas inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi membuka peluang kepada 11 usahawan mahasiswa daripada pelbagai universiti awam dibimbing serta bersaing dalam merebut geran perniagaan bernilai RM50,000.

Bahagian Komunikasi Korporat UPSI dalam satu kenyataan memaklumkan, dengan penampilan menggabungkan pakaian tradisi dari timur dan barat iaitu kimono dan jaket kardigan, Muhammad Faizal berjaya mencuit hati juri apabila inovasi yang dihasilkan bukan saja mengangkat tema batik Malaysia sebaliknya turut berjaya mengikat perjanjian jualan dengan syarikat tempatan sehingga menarik minat syarikat antarabangsa dari Korea Selatan untuk melabur.

"Penuntut semester tiga Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan (Teater) ketika ditemui memanjatkan perasaan syukurnya dan teruja apabila dinobatkan sebagai juara.

"Sebagai seorang pelajar bidang teater, saya tak sangka mampu beri saingan kepada tiga lagi finalis yang mempunyai latar belakang dalam bidang keusahawanan.

"Mungkin kejayaan ini adalah berkat meneruskan legasi arwah ibu Siti Aisyah Bakri, seorang peniaga makanan yang meninggal dunia pada tarikh sama hari ini, dua tahun lalu," katanya.

Muhammad Faizal yang membawa pulang sijil dan trofi, bercita-cita mahu meneruskan operasi jenama syarikat makanan dan minuman Manis Qietchen Enterprise di sekitar Tanjung Malim berhampiran kampus tempat pengajiannya.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UPSI, Prof Madya Dr Norkhalid Salimin.

Norkhalid berkata, kejayaan yang dikecapi Muhammad Faizal menjadi contoh teladan kepada penerapan budaya BAIKK iaitu 'Bangga UPSI' dan 'Kreatif & Inovatif' yang disarankan kepada penuntut UPSI.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI Prof Md Amin Md Taff turut mengucapkan tahniah atas kecemerlangan pelajar dan jasa usaha Jabatan Hal Ehwal Pelajar serta Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE) serta Fakulti Muzik & Seni Persembahan UPSI yang memberi sokongan terhadap kemenjadian mahasiswa yang berkorban untuk menjulang nama universiti bertuah.

Pentas akhir Taikun Muda yang bersiaran secara langsung di TV Alhijrah turut menyaksikan finalis Adlina Jamaludin dari Universiti Putra Malaysia di tempat kedua dengan membawa pulang hadiah RM 20,000 beserta sijil dan trofi.

Tempat ketiga pula dimenangi penuntut Universiti Malaya, Shafiq Rami Yani membawa pulang wang tunai berjumlah RM 2,500, motosikal Yamaha bernilai RM7, 500 berserta trofi dan sijil penyertaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 7:09 PM