Gambar fail NSTP.
Gambar fail NSTP.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Akademi Pondok Bitara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bakal menawarkan Diploma Thurath Islami kepada pelajar lepasan pondok dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula tahun hadapan.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, akademi itu menjadi satu-satunya unit yang menjalankan aktiviti melalui sistem pondok di peringkat universiti.

"Ia mampu menjadi pusat dan hub pendidikan Turath Islami yang signifikan dengan status UPSI sebagai satu-satunya universiti pendidikan di Malaysia.

"UPSI bakal menjadi universiti awam pertama yang menyediakan peluang pengajian pondok kepada masyarakat untuk mengikuti pengajian secara formal dan tidak formal," katanya di sini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof Dr Marzita Puteh berkata, pengajian itu berasaskan sistem arus perdana serta mendapatkan kelulusan formal yang diiktiraf.

Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan, Prof Madya Dr Mohd Hairy Ibrahim pula menjelaskan, fakulti itu berhasrat menawarkan program berkenaan supaya lepasan pondok yang memenuhi syarat kelayakan ditetapkan mampu untuk menyambung pengajian peringkat diploma dalam bidang tumpuan Pengajian Islam, secara lebih mendalam berasaskan kitab turath.

"Bakal pelajar diploma ini mampu mengaplikasikan kemahiran teknikal termasuk penggunaan teknologi terkini dalam pengajian Turath Islami selain, mereka kelak mampu mengurus maklumat dengan cekap dalam bidang Turath Islami," katanya.

Akademi Pondok Bitara UPSI bekerjasama dengan universiti awam lain termasuk Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan beberapa Institusi Pondok Swasta dalam mempertingkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran secara maya.

Kerjasama turut dijalin bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Yayasan Addin, Jabatan Mufti Perak dan agensi kerajaan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 10:54 PM