Elica Paujin
Elica Paujin
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Hampir menjadi mangsa penyingkiran, penyanyi Elica Paujin, 23, memang sudah jangka mendapat markah rendah juri pada saingan suku akhir Big Stage 2022, kelmarin.

Elica yang disebut-sebut mampu menjuarai program itu bagaimanapun tidak sangka kutipan markahnya akan meletakkan dia di kedudukan tiga tercorot.

"Sebenarnya sejak 'sound check' lagi saya sudah jangka perkara itu (dapat markah rendah). Saya rasa 100 peratus 'down' kerana diberi lagu yang benar-benar di luar zon selesa.

"Memang saya sudah cuba sedaya-upaya berikan persembahan sebagaimana yang dikehendaki. Saya sendiri tidak puas hati dengan persembahan saya sejak raptai, 'sound check' dan konsert," katanya.

Anak jati Tambunan, Sabah itu mengakui dia memang terkilan apabila persembahannya menerusi lagu Rindu (Hetty Koes Endang) dalam versi dangdut agak kurang meyakinkan ramai.

"Mungkin ramai tak pernah sangka saya akan berada di kedudukan tiga tercorot. Sejujurnya, saya pun rasa begitu walaupun menjangka pasti dapat markah rendah.

"Berada di kedudukan itu, memang saya rasa takut, berdebar, sedih dan kecewa. Undian pun belum tentu memihak kepada saya walaupun berada di tangga pertama di awal konsert," katanya.

Bagaimanapun, Elica bersyukur apabila masih berpeluang mara ke separuh akhir, Ahad ini.

Katanya, dia mahu menebus semula kesilapannya dan beri persembahan menakjubkan.

"Saya memang akan pastikan untuk gunakan kekuatan vokal bernada tinggi dalam persembahan lagu Anggapanmu nanti. Juri pun komen memang nanti-nantikan aspek itu," katanya.

Pada pusingan suku akhir itu, dua peserta iaitu Syafiq Abdillah dan Megat Rahim disingkirkan. Manakala Aisha Retno unggul mendapat kedudukan pertama dengan markah keseluruhan 97 peratus.

Tinggal dua minggu lagi, program dihoskan Alif Satar dan Sherry Al-Hadad itu akan menobatkan juara baharu.

Tiga juri tetapnya pula adalah Ajai, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Aliff Aziz, manakala Datuk Seri Vida selaku Presiden Netizen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 2:54 PM