MINAT berniaga, Bienda akui gemar kongsi rezeki.
MINAT berniaga, Bienda akui gemar kongsi rezeki.
Norhayati Nordin


Nama penyanyi Bienda, 36, cukup dikenali bukan saja kerana dia anak penyanyi dangdut Sheeda, tetapi pembabitan bersama kumpulan nasyid Solehah.

Bersama kumpulan itu yang diperkenalkan pada 1998, Bienda menjadi perhatian kerana dia baru berusia 12 tahun dan memiliki bakat besar.

Tidak hanya menyanyi, dia dengan berani mengorak langkah dan mencuba nasib sebagai pelakon, pengacara, penyampai radio termasuk turut dipilih menjadi duta produk.

Namun, kini agak lama Bienda menyepi dari dunia hiburan. Ibu kepada dua anak perempuan ini bagaimanapun aktif di media sosial dan sibuk mempromosikan perniagaannya.

Tular dengan perniagaan pau di tepi jalan yang diusahakannya bersama suami, Kamarul Zariman Abdul Rahman atau Boy baru-baru ini, bagi Bienda itu rezeki daripada Allah yang tidak diduga.

Turut ditanya kerinduannya pada karier seni, Bienda atau nama sebenarnya Nor Razlinda Razali berkata, perasaan itu memang sentiasa ada dan tidak pernah padam.

"Cuma, situasi industri hiburan sekarang sudah banyak berubah dan berkembang. Dah tak macam dulu lagi dan kalau nak buat 'comeback' pun kena ada lagu yang betul-betul sesuai dan kena di hati pendengar.

"Untuk itu (lagu), saya kena pastikan dapat karya yang bagus. Apa pun, hasrat hati saya hendak muncul dengan single baharu dalam seni suara memang ada. Semoga suatu hari nanti, impian ini terlaksana.

"Cuma, saya tidak tahu bila masanya kerana kita hanya mampu merancang dan Allah yang tentukan. Lagipun, sekarang ini ada ramai penyanyi baharu dan keadaan juga kurang mengizinkan kerana kita masih berdepan penularan Covid-19," katanya.

Ditanya juga apa yang dilakukannya selama kurang aktif di pentas hiburan, Bienda berkata, dia memberi tumpuan pada perniagaan tudung dan 'inner' yang dijalankannya di media sosial termasuk menyertai gerai jualan.

"Saya seorang yang mempunyai minat besar dalam berniaga. Sejak kecil saya sudah mula berniaga dan cenderung mencari peluang perniagaan. Saya mendapat kepuasan ketika berniaga.

BIENDA masih rindu karier seni.
BIENDA masih rindu karier seni.

"Disebabkan minat mendalam itu, saya juga tak kisah berniaga di tepi jalan. Apatah lagi, nak rasa malu walaupun saya perlu pakai sarung tangan getah ketika melayan pelanggan," katanya.

Gembira mendapat sokongan suaminya, Bienda berkata, apabila berniaga ini dia juga berkongsi rezeki dengan orang lain.

Katanya, konsep kongsi rezeki dalam perniagaan amat dituntut kerana Allah akan melipat gandakan lagi rezeki kita.

Mengenai perniagaan pau dikenali Papapau Bienda Gebu yang dijalankannya dua bulan lalu di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, Bienda berkata, dia bersyukur semakin mendapat sambutan dan perhatian daripada pelanggan.

Katanya, selain jualan di gerai, dia juga menyediakan perkhidmatan penghantaran termasuk pelanggan yang mahu membuat infaq atau sumbangan setiap Jumaat.

Bienda bertemu jodoh dengan suaminya, Boy pada 10 Oktober 2009 dan kini bahagia dengan cahaya mata mereka iaitu Lavienda Namiraz, 10, dan Laxiendra Namiraz, 8.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 6:40 AM