LUQMAN berharap hubungan dengan bekas isteri sentiasa baik demi anak.
LUQMAN berharap hubungan dengan bekas isteri sentiasa baik demi anak.
Najiy Jefri


Biarpun berdepan kemelut rumah tangga hingga terpaksa melalui fasa perceraian pada Jun tahun lalu, pelakon, Luqman Hafidz menganggap setiap hal yang berlaku adalah dugaan buat dirinya.

Namun, Luqman yang terkenal menerusi filem Ola Bola berkata, dia bersyukur apabila karier seninya tidak terjejas dengan masalah rumah tangga.

"Alhamdulillah, walaupun berdepan ujian perpisahan ini, tapi saya masih diberikan ruang meneruskan karier dalam industri seni ini.

"Sekarang fokus saya mahu mencari rezeki. Saya berniat untuk berikan sehabis baik dalam setiap rezeki yang saya peroleh.

"Tambah pula, saya perlu bekerja untuk membesarkan anak tercinta yang masih kecil. Saya ingin memberikan didikan dan kasih sayang terbaik untuk dia," katanya.

Mengakui Ramadan tahun ini sedikit berbeza tanpa ketiadaan isteri dan anak selepas melalui episod perpisahan, Luqman bagaimanapun menjalani bulan penuh kemuliaan itu dengan sederhana.

"Tidak dinafikan Ramadan tahun ini sedikit berbeza berbanding dua tahun lalu. Tapi, saya perlu kuat mengharungi setiap apa yang sudah ditakdirkan.

BERSYUKUR karier seni tidak terjejas dengan konflik rumah tangga.
BERSYUKUR karier seni tidak terjejas dengan konflik rumah tangga.

"Saya masih menjalankan aktiviti dan kehidupan seperti biasa. Saya akan banyak menghabiskan masa dengan anak.

"Sekarang ini hidup saya adalah untuk anak. Saya sudah bercadang membelikan pakaian raya dan kelengkapan lain yang diperlukan.

"Ramadan tahun ini juga saya mahu menghabiskan masa dengan keluarga. Saya sudah berniat untuk lebih meluangkan waktu dengan keluarga," katanya.

Mengulas mengenai perancangan menyambut Aidilfitri, Luqman berkata, dia dan bekas isteri, Nurul Atiqah Mad Apandi, 31, akan bergilir-gilir meraikan bersama anak perempuan mereka, Eve Laura yang kini berusia setahun.

"Setakat ini hubungan kami baik dan masih boleh berbincang soal anak. Saya harap hubungan baik ini akan terus kuat kerana banyak hal yang perlu dibincangkan untuk anak," katanya.

Pada 30 Disember tahun lalu, Luqman memuat naik hantaran di Instagram mengesahkan dirinya sudah bercerai dengan Nurul Atiqah. Mereka mendirikan rumah tangga pada 20 Mac 2020.

Dalam masa sama, Luqman memaklumkan, dia bakal membintangi filem Seindah Kasih The Movie yang ditayangkan di platform penstriman Tonton bermula 12 April depan.

Selain Luqman, filem terbabit turut dibintangi Mimi Lana, Syafiq Kyle, Siti Saleha dan Anas Ridzuan.

Filem berkenaan mengisahkan enam warga kerja dan peminat industri hiburan Malaysia. Kesibukan kerja di industri hiburan menjadikan tugasan harian mereka lebih mencabar pada Ramadan dan Syawal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 6:30 AM