AIMAN Tino.
AIMAN Tino.
Ramlah Zainal

Barangkali nama penyanyi popular Aiman Tino ‘sepi’ di persada hiburan ketika ini.

Bukan saja kelibatnya jarang muncul dalam acara hiburan, perkembangan karier seninya juga nampak perlahan tahun ini.

Hakikatnya, kata penyanyi yang dikenali dengan lagu Ku Rela Dibenci dan Permata Cinta itu, dia sibuk membahagikan masa antara karier seni dan bisnes agar bergerak seiringan.

“Sebenarnya, saya sibuk dengan komitmen sebagai duta produk. Saya terikat dengan perjanjian bersama syarikat terbabit.

“Mungkin sebab itu, ada yang anggap saya menyepi.

“Selain itu, saya sibuk dengan bisnes untuk jaminan masa depan. Terbaru, saya mengusahakan restoran yang akan mula beroperasi di Pinggiran Putra hujung tahun ini,” katanya kepada Metro Ahad.

Aiman mengakui dia juga tidak ada masalah untuk membahagikan masa antara karier seni dan bisnes.

“Selain ayah, semua aktiviti seni diatur pengurusan label.

“Manakala bisnes pula, saya ada kakitangan yang dilantik untuk menguruskannya.

“Namun, saya tetap memantau perjalanan syarikat supaya berjalan seperti direncana,” katanya.

Pada masa sama, Aiman mahu memberi ruang kepada penyanyi baharu yang bernaung di bawah syarikat rakaman sama dengannya diketengahkan.

“Saya percaya, penyanyi yang baru mencari tapak memerlukan publisiti meluas untuk mereka dikenali ramai.

“Saya sentiasa menyokong kemunculan artis baharu dan tidak menganggap ia satu persaingan kerana setiap penyanyi termasuk yang baharu ada peminat serta kekuatan tersendiri.

“Tak perlu gusar kerana rezeki kita sudah ditentukan Ilahi,” katanya.

AIMAN Tino.
AIMAN Tino.

Pertaruh single Terlerai Sebuah Janji

Mengenai single baharu pula, Aiman berkata, dia bakal memperkenalkan Terlerai Sebuah Janji khusus buat pengikut setia.

“Single terbaru ini hasil sentuhan komposer Ack dan liriknya oleh Riena.

“Ia dirakam pada Jun lalu dan bakal dilancarkan hujung tahun ini.

“Single ini masih mengekalkan tema cinta dan kekecewaan dalam perhubungan,” katanya.

Ditanya perancangan masa depan karier nyanyian pula, Aiman menjelaskan, dia mahu menghasilkan lagu berkualiti dan sedap didengar.

“Insya-Allah, selain single baru saya juga akan menghasilkan album penuh khusus buat peminat setia yang menyokong karier saya selama ini,” katanya.

Berkongsi projek lakonan pula, Aiman akan membintangi drama baharu tidak lama lagi.

“Jika semua berjalan lancar, penggambaran akan berlangsung bulan ini,” katanya.

Perkembangan lain, Aiman turut terbabit dengan Showcase Tour kosmetik DYXY bermula 8 hingga 29 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 5:30 AM