PRODUK  air jagung Amir mempunyai agen dan stokis di beberapa negeri.
PRODUK air jagung Amir mempunyai agen dan stokis di beberapa negeri.
Norhayati Nordin


HIDUP ini umpama roda, tak selama kita di atas dan begitu juga sebaliknya. Malah, rezeki pun tidak akan datang bergolek tanpa diiringi dengan usaha.

Melihat pada kecekalan pelawak dan pelakon, Amir Raja Lawak, 32, yang sanggup berusaha sedaya upaya menjual air jagung di tepi jalan, ia tindakan yang sangat bagus dan wajar dicontohi.

Ternyata, sikap 'low profile' Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi yang tidak sedikit pun berasa malu berniaga di tepi jalan, boleh menjadi pembakar semangat buat orang lain untuk terus berusaha mencari rezeki.

Amir berkata dia sudah aktif berniaga Air Jagung Amerreka yang diusahakannnya di tepi jalan sejak 2017 lalu. Jelasnya, ia sebagai inisiatif dirinya mencari pendapatan tambahan selain fokus pada kerjaya seni.

"Bekerja dalam industri hiburan, pendapatan saya tidak tetap kerana bergantung pada tawaran kerja yang diterima. Malah, sebelum penularan Covid-19 tahun lalu pun, tawaran kerja seni saya tetap ada dan tak pernah putus.

"Cuma, minat pada berniaga membuatkan saya ingin mencuba. Pada mulanya, sekadar mengisi masa untuk cari pendapatan tambahan. Namun, alhamdulillah sambutan yang saya terima daripada pelanggan sangat baik.

AMIR aktif berniaga Air Jagung Amerreka sejak 2017.
AMIR aktif berniaga Air Jagung Amerreka sejak 2017.

"Malah, saya bersyukur walaupun sekarang situasi pandemik ini belum berakhir, saya tetap berniaga seperti biasa dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa," katanya.

Menurut Amir, biarpun untung harian diperoleh tidak begitu besar jumlahnya, tapi dia lega bisnes air jagung itu dapat membantu orang lain mencari pendapatan tambahan terutama rakannya yang terjejas pekerjaan.

"Sebenarnya, saya tak sangka juga bahawa perniagaan air jagung diusahakan ini dapat memberi manfaat kepada orang lain terutama pada kalangan rakan dan kenalan saya yang perlukan pekerjaan.

"Sekarang ini pun, ada kawan saya yang sebelum ini bekerja sebagai pekerja industri membantu saya berniaga. Alhamdulillah, dapat juga saya kongsi rezeki dan tolong ringankan beban keluarga kawan saya itu," katanya.

Mengulas mengenai kebimbangannya terdedah dengan persekitaran kerana kes jangkitan Covid-19 yang masih tinggi, Amir berkata perasaan risau itu tetap ada, tapi rezeki pun kena dicari juga.

Ujar Amir lagi, dengan mengikut panduan SOP yang betul turut membantu melindungi keselamatan diri termasuk jika ada pelanggan hendak bergambar, akan diminta mereka menjarakkan diri serta bersalaman pun tidak dibenarkan.

Gembira mendapat sokongan padu keluarga dan isteri, Amir berkata yang pasti bisnes air jagungnya sudah mempunyai agen dan stokis di beberapa negeri seperti Kuala Lumpur, Selangor, Terengganu, Pahang dan Kedah.

Katanya lagi, selain menjual air jagung dan keladi, dia juga menambah dua produk baharu iaitu air epal dan tembikai susu untuk variasi kepada pelanggan- pelanggannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 6:41 AM