BARISAN pelakon filem The Dissapearance Of Irdina Adhwa.
BARISAN pelakon filem The Dissapearance Of Irdina Adhwa.
Sudirman Mohd Tahir


FILEM suspen thriller, The Dissapearance Of Irdina Adhwa menjadi filem pertama tempatan menggunakan alatan memanah yang ditonjolkan sebagai elemen aksi dalam filem.

Demi keselamatan pelakon dan kru, pengarahnya Kyle A Halim, 28, menggunakan khidmat ahli memanah profesional bagi memantau penggunaan peralatan itu sepanjang proses penggambaran.

Malah, pelakon yang dikehendaki mengendalikan alatan itu perlu mengikuti kelas asas memanah selama lapan hari bagi tujuan keselamatan, sekali gus menjadikan aksi mereka lebih baik di layar.

"Selain penggunaan alatan memanah, satu lagi kelainan yang ditonjolkan dalam filem ini ialah penggunaan dialek Sabah yang jarang digunakan dalam filem tempatan. Saya memilih dialek Sabah bagi memartabatkan negeri kelahiran saya.

"Sebagai pengarah baharu, pastinya saya tidak sabar menanti filem ini ditayangkan. Tapi, pada masa sama tentunya berdebar kerana akhirnya hasil karya saya akan ditayangkan.

"Lagipun bukan sedikit cabaran yang perlu kami lalui untuk menyiapkan filem itu. Cabaran terbesar adalah mencari kru yang berada di Kuala Lumpur. Sebagai orang yang baru hendak berjinak-jinak dalam bidang filem, saya tidak mengenali sesiapa di sini.

"Bagaimanapun, saya bersyukur akhirnya dipertemukan dengan pelakon dan kru yang berwibawa," katanya.

Filem The Dissapearance Of Irdina Adhwa ditayangkan di platform Astro First bermula 24 Februari lalu.

Menariknya, penerbitan filem itu juga mendapat Dana Kandungan Digital (DKD) berjumlah RM700,000 daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Begitu pun, pada sesi tayangan filem itu baru-baru ini, Kyle tidak dapat bersama-sama memeriahkan acara itu kerana disahkan positif Covid-19.

Menurut Kyle, dia hanya menyedari dijangkiti virus berkenaan ketika melakukan ujian calitan pada pagi majlis pelancaran.

"Memang agak sedih dan kecewa memandangkan ini filem pertama sentuhan saya. Tentunya saya ingin menyaksikan sendiri hari cukup bersejarah buat diri saya. Lagipun segala perancangan untuk sesi tayangan kepada media sudah pun dirancang lebih awal.

"Tapi, kita hanya mampu merancang, Allah juga yang menentukan segala-galanya. Saya hanya mampu berharap supaya filem itu nanti dapat diterima penonton itu saja.

"Setakat ini saya berpuas hati dengan hasil karya pertama itu, cuma kesal tidak mampu melakukan penggambaran sepenuhnya di Mesilau, Kundasang ekoran daripada Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP). Jadi, kerajaan Sabah mengenakan syarat ketat untuk membawa orang luar masuk," katanya.

Penggambaran filem itu dijalankan 20 peratus di Kundasang, manakala selebihnya di Melaka.

Menyasarkan penonton muda, filem terbitan Kotaki Studios itu dibintangi Alicia Amin, Syazuwan Hassan, Josiah Hogan, Bulan Terry, Nafiz Muaz, Melanie Tan, Nelissa Nizam, Hasmira Azmi dan Abbas Mahmoud mengisahkan mengenai Sofia menyertai tujuh rakan kolej bercuti dan berkelah sebaik majlis graduasi selesai.

Namun, berlaku kejadian tidak diingini dan diselubungi misteri apabila salah seorang rakannya terbunuh ketika mereka menginap di sebuah rumah peranginan pada malam pertama.

Bagaimanapun, Sofia dan rakan-rakannya terperangkap dalam rumah peranginan berkenaan dan tidak boleh keluar minta pertolongan untuk menyelamatkan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 6:45 AM