Ramlah Zainal


BERMULA dari program realiti Asia's Next Top Model musim kelima, model yang kini bergelar pelakon, Alicia Amin, 27, tidak menoleh ke belakang lagi untuk membina namanya dalam industri hiburan tanah air.

Ternyata percaturan anak kelahiran Johor Bahru ini menjadi kerana namanya tercalon dalam senarai Top 5, kategori Pelakon Harapan Wanita pada Festival Filem Malaysia ke 32 (FFM32) menerusi lakonannya dalam filem The Dissapearance Of Irdina Adhwa.

Walaupun tidak membawa pulang trofi, Alicia atau nama sebenarnya Raja Alicia Raja Amin bersyukur kerana namanya tersenarai dalam acara berprestij itu.

"Saya sangat terharu bila nama dicalonkan dalam FFM32 kerana segala kerja keras dalam bidang lakonan akhirnya membuahkan hasil.

"Pencalonan dalam FFM32 juga tidak bermakna jika seseorang pelakon itu kurang berdisiplin. Jadi, saya akan terus meletakkan nama saya dalam bidang seni menerusi usaha dan cara bekerja yang mengikut etika," katanya kepada RAP.

Berkongsi perancangannya dalam bidang seni pada 2023, Alicia yang mula berlakon pada 2017 berkata, dia mahu fokus pada bidang lakonan dan melakonkan watak yang boleh mencabar kemampuannya.

"Saya pernah menghadiri kelas lakonan bersama pengarah, arwah Azhari Zain ketika berlakon dalam filem genre thriller The Dissapearance Of Irdina Adhwa.

"Banyak ilmu lakonan yang saya pelajari dengan arwah hingga lakonan dalam filem itupun dapat pengiktirafan dari FFM32. Bukan saja dari guru lakonan, saya juga mahu belajar ilmu lakonan dengan pelakon senior di lokasi penggambaran

"Buat masa ini, saya ada menerima beberapa tawaran berlakon tetapi masih dalam perbincangan lagi. Walaupun sudah tercalon dalam FFM32, saya tetap menghadiri uji bakat untuk mencari pelakon anjuran pelbagai produksi untuk mencari naskhah yang menarik," katanya.

Mengenai projek drama terbaru pula, Alicia berkata, dia menanti dua projek drama bersiri lakonannya yang bakal bersiaran awal tahun ini di TV3 dan Sooka TV.

"Saya menaruh harapan watak dalam siri untuk saluran Sooka TV akan dapat pengiktirafan. Watak saya dalam siri untuk Sooka TV ini adalah sangat kompleks dan berat serta buat julung kalinya saya melakonkan watak sedemikian.

ALICIA terharu dia dicalonkan dalam FFM32.
ALICIA terharu dia dicalonkan dalam FFM32.

"Pada masa sama, saya memang mahu mencabar diri dengan watak baik atau gadis kampung kerana ia sangat berbeza dari diri saya yang sebenar," katanya yang menjadikan Angelina Jolie dan Fazura sebagai idola dalam bidang lakonan.

Ditanya mengenai dunia peragaan, Alicia berkata, dia mula memperlahankan aktiviti peragaan untuk memberi fokus pada bidang lakonan yang masih baru buatnya.

"Fokus saya sekarang adalah 70 peratus pada bidang lakonan. Lakonan dan peragaan adalah dua bidang berbeza. Terus terang, bidang lakonan sangat sukar dan kadang kala saya mengalami tekanan kerana keyakinan diri masih kurang tetapi saya tetap berusaha untuk memperbaiki kelemahan itu," katanya.

Alicia berkata, dunia peragaan masih beri kepuasan dan sebati dengan dirinya sejak berkecimpung dalam bidang itu hampir mencecah 13 tahun.

"Saya masih lagi bekerja dengan beberapa pereka fesyen dan jenama ketika ini sehinggalah saya bersara satu hari nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 6:00 AM