Luca Sickta bersama isterinya.
Luca Sickta bersama isterinya.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi hip hop, Luca Sickta, 33, sah bergelar suami kepada penerbit stesen radio Era FM Sabah, Nur Robecca Ruth Robert Abdullah, 30, dalam majlis pernikahan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah, jam 10 pagi, hari ini.

Pasangan itu dinikahkan imam masjid berkenaan, Hassan Sapar.

Luca atau nama sebenarnya Shameer Ashraf Shahruddin berkata, dia bersyukur apabila majlis akad nikah berjalan dengan lancar.

"Pada awalnya majlis akad nikah akan diketuai oleh bapa saudara Robecca, tapi malangnya dia disahkan positif Covid-19 dan terpaksa digantikan oleh imam masjid di sini.

"Walaupun berdepan cabaran tapi saya bersyukur kerana majlis berjalan dengan lancar. Lagipun majlis pernikahan ini diadakan secara sederhana saja memandangkan kes Covid-19 yang masih tinggi. "Pernikahan ini adalah satu fasa baru dalam hidup. Saya kini memegang satu tanggungjawab besar sebagai suami selain perlu mendidik isteri mendalami Islam selepas Robecca memeluk Islam setahun lalu," katanya.

Luca menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300, tetapi tiada pertukaran dulang hantaran antara kedua belah pihak dan mereka juga merahsiakan jumlah wang hantaran di atas persetujuan kedua belah keluarga.

Menurut Luca, dia mula mengenali Robecca kira-kira setahun lalu ketika berada di Kota Kinabalu atas urusan kerja.

"Perkenalan kami memang singkat tapi saya selesa berkawan dengannya kerana kami memiliki pemikiran dan hala tuju yang hampir sama. Lagipun hubungan yang dibina bukanlah sekadar 'cinta monyet' atau nak bersuka ria. Umur kami pun sudah mencecah 30-an, jadi fokus kami lebih kepada masa depan dan melalui kehidupan bersama-sama.

"Saya sebenarnya sangat bersyukur kerana hubungan kami mendapat restu ibu bapa Robecca. Malah bapanya sendiri yang memberi galakan dan sokongan untuk Robecca memeluk Islam. Sekarang tugas saya pula untuk memastikan Robecca mendalami Islam secara perlahan-lahan. Saya pun tidak mahu terlalu tegas dalam mendidiknya, tapi hal yang wajib dia perlu ambil tahu," katanya.

Luca bersama rakan duonya, Kmy Kmo cukup dikenali menerusi lagu 7 Nasihat bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza, Zuhud (bersama Datuk M Nasir) dan Neraca (bersama Datuk Jamal Abdillah).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 4:34 PM