Joey Daud
Joey Daud
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, pelawak dan penyanyi, Joey Daud kecewa apabila masih ada pihak yang memandang jumlah pengikut di media sosial sebagai kriteria utama untuk membintangi sesuatu drama atau filem.

Joey atau nama sebenarnya, Zulkifli Daud, 49, berkata, dia tidak kisah sekiranya pempengaruh atau YouTuber diberikan peluang berlakon, namun berharap mereka bermula dari bawah.

"Sekarang ini pengikut di media sosial boleh dibeli dan cara ini secara tak langsung mengajar orang lain untuk menipu bagi menempatkan diri dalam dunia seni.

"Bagaimana nasib dengan pelakon 'otai' yang tidak memiliki media sosial? Saya pun kalau diikutkan baru saja wujudkan akaun Instagram. Saya harap sangat janganlah pelakon yang tiada pengikut, pihak produksi tidak mahu ambil berlakon sedangkan kita tahu kemampuan dia.

"Saya agak kecewa apabila perkara ini terjadi. Sebenarnya saya tak kisah jika ingin beri peluang kepada pempengaruh atau YouTuber untuk terjun dalam dunia seni, tapi janganlah terus diberikan watak penting sebaliknya mulakan dengan watak tambahan," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Gadis Jolobu The Movie di Kuala Lumpur Jazz and Arts Centre, di sini, semalam.

Menurut Joey, dia sering berdepan situasi pempengaruh yang menyusahkan pasukan produksi dan pelakon untuk menjalankan kerja di set penggambaran.

"Perkara ini terjadi sebab mereka ini tak faham bahasa kamera dan ia menyusahkan seluruh pasukan produksi dan pelakon. Tidak dinafikan selalu juga perkara sebegini terjadi.

"Setiap pelakon ada watak lain-lain, jadi kalau golongan ini asyik membuat kesilapan sudah tentulah mereka hilang sabar.

"Sebenarnya pengarah di set tiada masa nak ajar setiap pelakon untuk memahami watak yang dibawakan. Jadi sebelum masuk ke set fikir-fikirkan hal ini dan jangan sampai menyusahkan orang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 1:09 PM