Najiy Jefri


Memasuki tahun kelima dalam industri seni hiburan tempatan, pelakon Wafariena Roslan tidak menyangka apabila kehadirannya sentiasa diterima baik oleh syarikat produksi dan stesen TV.

Dihujani tawaran demi tawaran, wanita jelita berusia 28 tahun itu meluahkan rasa syukur dengan setiap rezeki yang diterimanya.

Bagaimanapun, timbul khabar angin mendakwa dia sudah lama tidak berlakon memandangkan wajahnya sudah lama tidak muncul di TV.

Tenang menjawab pertanyaan yang diajukan, Wafariena memberitahu, dia sebenarnya bukan tiada tawaran berlakon, tetapi kebanyakan drama yang dibintangi belum disiarkan.

"Alhamdulillah sepanjang lima tahun mencuba nasib dalam bidang seni, saya menerima pelbagai tawaran lakonan hingga tiada masa untuk bercuti.

"Kalau nak tahu saya hanya pernah bercuti panjang ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19 serta cuti sakit selama dua bulan akibat kecederaan yang dialami ketika menjalani sebuah penggambaran drama tahun lalu.

"Selebihnya masa saya dihabiskan di set penggambaran. Sebenarnya bukan tiada tawaran berlakon, tetapi kebanyakan drama yang saya dah buat belum disiarkan lagi," katanya.

Terbaharu Wafariena membintangi sebuah telefilem berjudul Hang Nak P Mana? arahan Asri Baq'U Tajudin yang ditayangkan di Astro First bermula hari ini.

Ditanya mengenai keadaan kesihatannya selepas mengalami kecederaan di punggung dan perut ketika melakukan aksi lagak ngeri dalam babak sebuah drama lakonannya, Wafariena berkata, doktor memaklumkan dia mengalami masalah pada bahagian peranakan.

"Kalau saya ditawarkan berlakon untuk filem atau drama aksi yang memerlukan saya melakukan aksi lagak ngeri, saya elakkan kerana saya ada masalah di bahagian peranakan.

WAFARIENA hanya berehat ketika PKP dan kecederaan yang menimpa ketika penggambaran tahun lalu.
WAFARIENA hanya berehat ketika PKP dan kecederaan yang menimpa ketika penggambaran tahun lalu.

"Alhamdulillah sekarang ini semuanya sudah beransur baik. Saya pun tidak mengalami sebarang kesan teruk selepas menerima rawatan di hospital," katanya.

Biarpun sudah hampir lima tahun bertapak dalam bidang lakonan, Wafariena tidak pernah menganggap dirinya sudah lama dalam bidang itu, sebaliknya masih banyak perkara yang perlu dipelajari.

Tidak pernah mengetepikan pelakon senior setiap kali berada di lokasi penggambaran, Wafariena berkata, dia sebolehnya menegur setiap orang tidak kira pelakon, kru produksi mahupun pelakon tambahan.

"Di awal permulaan karier saya sebagai pelakon, saya diajar untuk menegur semua orang di set penggambaran.

"Saya anggap semua yang berada di set adalah keluarga saya. Jadi, mahu atau tidak, saya perlu cipta keserasian dengan cepat supaya saya tidak menyusahkan mana-mana pihak ketika sesi penggambaran berlangsung.

"Walaupun saya agak pemalu dulu, tapi saya cabar diri dan buktikan saya boleh lakukan setiap babak yang perlu dibuat," katanya.

Menyedari wujud segelintir pelakon baharu yang lebih gemar menyendiri ketika berada di set penggambaran, Wafariena bagaimanapun menasihatkan supaya mereka tidak berasa malu atau menganggap diri kerdil.

"Kalau nak tahu kebanyakan pelakon senior sangat peramah. Kadangkala mereka datang tegur saya dulu, lebih-lebih lagi kalau nampak saya sedang membaca skrip.

TAMPIL dalam telefiem Hang Nak P Mana?
TAMPIL dalam telefiem Hang Nak P Mana?

"Mereka akan datang lepak dan beri tunjuk ajar. Jadi, pelakon baharu jangan jauhkan diri dengan pelakon senior. Cuba tegur pelakon lama dan kru produksi di set.

"Kita sudah dewasa dan sudah pandai bawa diri. Jangan rasa diri anda kerdil sehingga buat hal sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Wafariena turut berkongsi pengalamannya ketika dalam telefilem Hang Nak P Mana? disamping pelakon Joey Daud, Hairi Safwan dan Rahim Jailani.

"Dalam telefilem ini saya tak berdepan sebarang cabaran yang besar, sebaliknya saya seronok dapat bekerjasama dengan ramai pelakon otai.

"Selain itu, pengalaman bekerja di bawah arahan Baq'U juga antara momen yang tidak dapat dilupakan. Kami saling bertukar pandangan dan saya cuba merealisasikan watak yang diberikan dengan sebaiknya," katanya.

Telefilem Hang Nak P Mana? mengisahkan misi Joey dan Hairi ditemani Idlan yang dalam misi mencari bapa saudara mereka, Pak Su Rahmat bagi menyelesaikan isu tanah pusaka.

Persengketaan orang tua mereka berkaitan harta pusaka menyebabkan hubungan persaudaraan mereka terpisah sejak dari kecil. Masing-masing mempunyai impian untuk menjadi kaya hasil dari penjualan tanah pusaka terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 6:00 AM