Perkongsian foto Yatt Hamzah ketika melakukan kerja membersih karpet dalam Masjid Nabawi di Madinah.
Perkongsian foto Yatt Hamzah ketika melakukan kerja membersih karpet dalam Masjid Nabawi di Madinah.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Yatt Hamzah, 40, yang kini berada di Kota Madinah meluahkan rasa terharu dan seronok apabila diberi peluang untuk membersihkan Masjid Nabawi.

Yatt atau nama penuhnya Haryati Hamzah berkata, dia sudah lama menyimpan hasrat untuk membantu pekerja-pekerja kebersihan di Masjid Nabawi, namun belum mempunyai rezeki untuk berbuat demikian.

"Semalam lepas Asar, saya dapat peluang bersihkan Masjid Nabi SAW. Perasaannya luar biasa, MasyaAllah walaupun hanya sekejap.

"Memang dah lama teringin nak membantu pekerja-pekerja kebersihan dalam Masjid Nabawi sebab saya memang suka membersihkan rumah. Tak suka nampak kotor.

"Alhamdulillah diberi rezeki dapat merasa jadi 'cleaner' (pekerja pembersihan) di Masjid Nabawi. Alhamdulillah," katanya.

Menerusi perkongsian di Instagram miliknya itu, Yatt dilihat menggunakan alat pembersih hampagas (vakum) untuk membersihkan karpet dalam masjid berkenaan.

Menurut Yatt, dia juga menyimpan keinginan untuk membawa keluarganya menetap di Madinah dan menjalani kehidupan di sana.

"Ya Allah, aku teringin sangat membawa keluargaku untuk menetap di Madinah. Aku sangat teringin anak-anakku bersekolah di Madinah, membesar di Madinah dan aku amat teringin untuk mati di sini (Madinah).

"Jika pada perkiraanMu, andai salah satu cara untuk berada di sini adalah dengan menjadi seorang pekerja pembersihan, aku amat berbesar hati Ya Allah. Aku amat berbangga andai dapat berkhidmat di sini buat Rasulullah SAW. Kau makbulkanlah doa-doaku ini wahai Tuhan yang Maha memakbulkan doa," katanya.

Terdahulu, Yatt berlepas ke Madinah untuk mengerjakan ibadah umrah pada 29 Oktober lalu seorang diri tanpa ditemani ahli keluarganya termasuk suami.

Yatt berkata dia tekad untuk mengerjakan umrah walaupun seorang diri kerana menganggap perkara itu sebagai satu pengorbanan demi Rasulullah SAW.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 4:26 PM