Zaara Talita

Petaling Jaya: Pengacara dan ahli perniagaan, Neelofa masih mengunci mulut berhubung kehamilan.

Neelofa, 32, atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor berkata, berita kelahiran cahaya mata lebih baik dihebahkan berbanding kehamilan.  

"Kalau saya boleh berkongsi mengenai bab kehamilan atau mendapat cahaya mata ni kan, kita lebih disarankan untuk berkongsi mengenai kelahiran berbanding kehamilan. Saya nak cakap lebih pun takut. Saya perlukan doa yang baik, kata-kata yang positif. Perkara ini sangat sensitif, ada sesetengah orang anggap ia biasa, orang lain pula ia sensitif. Jadi kalau yang nampak saya berbeza tu, berbezalah. Siapa yang nampak saya sama, samalah. 

"Kita lebih disarankan untuk berkongsi mengenai kelahiran berbanding kehamilan. Itu lebih baik. Apa saja boleh terjadi sepanjang proses ini. Jadi itu adalah sebabnya saya lebih suka memohon doa yang baik-baik jika ada orang tanya atau terjumpa saya," katanya kepada Harian Metro.

NEELOFA. FOTO Zaara Talita
NEELOFA. FOTO Zaara Talita

Neelofa ditemui pada Majlis Memeterai Memorabdum Persefahaman (MoU) antara TH Travel & Services Sdn Bhd (THTS) dan aplikasi TheNoor yang bertempat di Kompleks TH, Kelana Jaya, Selangor.

Dalam masa sama, Neelofa juga isteri kepada pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz itu memohon doa terbaik buatnya.

"Ketika saya bercuti di Pulau Langkawi bersama suami, saya ada bertemu dengan ramai peminat. Mereka boleh menilai sendiri keadaan saya. 

"Saya tak ada perancangan untuk membuat apa-apa pemgumuman, apa yang saya boleh katakan, saya amat perlukan doa semua," katanya. 

Sejak Julai lalu khabar angin mengenai kehamilan bekas pengacara MeleTOP itu hangat diperkatakan selepas dia dilihat menunjukkan tanda-tanda ibu mengandung apabila asyik mengusap bahagian perutnya.

Bukan hanya pada siaran langsung di Instagram untuk promosi tudung, paling ketara ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Seremban bagi sebutan semula kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) pada 24 September lalu.

Neelofa dan PU Riz melangsungkan pernikahan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada 27 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 1:40 PM