Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Tak mahu sahkan dan tak juga menafikan.

Ini pendirian pelakon dan pengacara popular, Neelofa mengenai khabar angin mengatakan dia hamil.

Sebaliknya, isteri kepada pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz itu meminta didoakan yang terbaik untuk dirinya.

Neelofa berkata, sekiranya desas-desus itu benar, dia akan menunggu waktu yang tepat untuk berkongsi berita gembira itu kepada orang ramai.

"Soalan mengenai sama ada seseorang itu sudah hamil atau tidak agak sensitif untuk dijawab. Pastinya mereka mempunyai alasan tersendiri

"Katakanlah desas-desus itu betul atau tidak, saya akan menunggu waktu yang terbaik untuk kongsikan kepada semua kerana berita ini adalah satu doa," katanya ketika ditemui pada majlis sumbangan Bakul Kasih PRIHATIN- MAIWP di Surau Al- Mustaqim, PPR Pinggiran Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Pada majlis ini, Neelofa yang mewakili Pertubuhan Kasih Neelofa bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Yayasan Kasih Prihatin Nasional (PRIHATIN) menyerahkan sumbangan kepada keluarga asnaf yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Hadir sama, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad.

Neelofa turut ditemani suaminya, Haris yang juga penasihat agama Pertubuhan Kasih Neelofa.

Neelofa mengakui ramai pihak teruja menantikan berita kehamilannya sehingga sedikit-sebanyak memberi tekanan kepadanya.

"Saya berharap orang ramai dapat memahami perkara ini dan doakan yang baik-baik sebab saya sangat perlukan doa-doa ini sebagai satu perlindungan.

"Saya faham kedudukan saya di mana orang mengharapkan perkongsian ini. Insya-Allah akan dibuat dengan baik dan saya akan kongsikan kepada semua kerana ia bukanlah sesuatu berita buruk yang perlu disorokkan," katanya.

Ditanya adakah pengumuman terbabit akan dibuat pada waktu terdekat, Neelofa berkata, dia akan memaklumkan apabila semuanya sudah betul-betul pasti.

"Sebagai contoh kalau kandungan dah betul-betul stabil barulah akan dikongsikan," katanya.

Sejak Julai lalu khabar angin mengenai kehamilan bekas pengacara MeleTOP itu hangat diperkatakan selepas dia dilihat menunjukkan tanda-tanda ibu mengandung apabila asyik mengusap bahagian perutnya.

Bukan hanya pada siaran langsung di Instagram Live untuk promosi tudung, paling ketara ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Seremban bagi sebutan semula kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), 24 September lalu.

Neelofa dan Haris melangsungkan pernikahan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada 27 Mac lalu.

Neelofa.
Neelofa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 5:54 PM